IDEA seni bina dan taman yang eksklusif.
SETIAP ruang sarat dengan nilai rekaan.
SUASANA hijau taman di ‚House of Tree‘ itu.
LANDSKAP dapat ditinjau dari dalam rumah.
SENI bina bangunan yang lebih mesra alam dengan landskap semula jadi dan selesa buat penghuni.
Susunan Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Kediaman di Ho Chi Minh City, Vietnam ini benar-benar menawarkan idea seni bina baru.

Ia turut digelar sebagai ‘House of Tree’ dan ‘Binh House’ dan menjadi terjemahan seni bina unik daripada firma arkitek tempatan iaitu Vo Trong Nghia (VTN) Architects.

Diserikan dengan idea taman vertikal (menegak) selain turut dilengkapi pokok palma dan tanaman hiasan lain.

Penataan taman berkonsep tropika dengan kawasan lapang dan elemen air yang diketengahkan membuatkan persekitaran sejuk mata memandang.

Ia juga boleh dikategorikan sebagai taman terapi yang berada di dalam kediaman dan hanya penghuninya saja berpeluang menikmati keistimewaan itu.

Di antara dua binaan konkrit utama di bahagian depan pula kelihatan taman dalam (courtyard) dan dinding kaca membenarkan pengaliran udara dan cahaya semula jadi ke seluruh ruang.

Malah taman hijau itu diwujudkan di semua tingkat dengan taman di bahagian bumbung pula menyediakan beberapa teduhan.

Dihuni tiga generasi yang berbeza apabila VTN Architects pula mewujudkan ruang secara privasi selain kehadiran pintu gelongsor kaca.

Sekali gus menjadikan taman itu tempat bersantai dan berinteraksi apabila ada kelapangan.

Konkrit di bahagian depan bangunan yang dibina berselang-seli atau tidak teratur itu sebenarnya memberi peluang kepada penghuni kediaman itu berinteraksi secara tidak langsung biarpun dari ruang berbeza.

Perincian ruang juga memperlihatkan kesinambungan apabila wujudnya ruang tamu terbuka, ruang makan dan bilik tidur menghadap taman indah.

Sudah tentu penghuni juga berpeluang menikmati suasana semula jadi dengan pengudaraan segar dengan suhu tropika Vietnam sepanjang masa.

Menurut kenyataan VTN Architects, seni bina bukan saja untuk memenuhi kebimbangan fungsi dan nilai estetikanya semata-mata.

Malah ia lebih daripada itu dan menjadi platform untuk menghubungkan manusia dengan alam semula jadi.

Lebih membanggakan, VTN Architects yang pernah mendapat pengiktirafan untuk seni bina kehijauan itu membuktikan kediaman itu sebagai buktinya.

Keunikan itulah yang membuatkan ‚House of Tree‘ ini kurang kos penyelenggaraannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:02 AM