Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my


Jika beberapa tahun lalu, kasut tumit tinggi atau ‘wedges’ menjadi pilihan gadis muda untuk nampak feminin namun kini tidak lagi.

Trend baru menggayakan kasut jenis ‘slides’ dengan ciri seolah-olah sandal strung ringkas dilengkapi dekorasi tambahan menjadi dambaan ramai.

Gaya baru ini dikukuhkan dengan kolaborasi penyanyi antarabangsa, Rihanna dengan jenama sukan terkenal dunia yang memasarkan ‘slides’ reka bentuk unik untuk dieksperimentasi.

Apa yang lebih menarik, gaya ini mencipta dimensi baru dalam gaya gadis remaja mengubah penampilan. Muak dengan kasut flat, sneaker atau jenis kasual, anda boleh mencuba aksesori ini bila-bila saja.

Tambahan dekorasi

Secara fizikalnya sandal jenis ‘slides’ ini mungkin nampak sedikit ‘mengada-ngada’ kerana model pertama yang laris di pasaran didekorasikan dengan material bald. Namun, ada juga yang dipadankan dengan labuci dan renda.

Gabungan perincian dihiasi pelbagai material untuk menampakkannya lebih mewah dan ranggi. Pastilah tidak sesuai jika dipakai untuk aktiviti luar ataupun berjalan dalam jarak jauh. Meskipun untuk dillhat ‘up-to-date’, jangan sesekali tolak tepi isu keselesaan kerana ia berkait rapat dengan kesihatan.

Mudah didapati

Satu-satu trend cepat diadaptasi disebabkan wujudnya banyak butik yang memainkan peranan dalam perkembangan fesyen.

Sebagai contoh, selipar strung ini bukan saja boleh dibeli di butik berjenama malah boleh didapati di kedai kasut biasa dengan harga berpatutan.

Menariknya, mereka mempelbagaikan dekorasi sekali gus menjadikan pilihan lebih luas dengan warna berbeza. Pilihan ini membolehkan anda memilih mengikut kemampuan masing-masing.

Tidak dinafikan, anda akan dipandang aneh oleh kelompok veteran yang mungkin melihatnya seperti kasut di rumah atau tidak sesuai digayakan di taman atau pusat beli-belah, namun inilah fesyen terkini.

Jika anda tidak berani untuk mencuba, kekalkan trend lama dengan memilih aksesori kasut ‘selamat’ dipandang.

Sama ada untuk kelihatan ‘sweet’, feminin atau santai, ia bergantung kepada anda sepenuhnya. Pastikan kombinasi tidak caca-marba kerana anda pasti tidak mahu dilihat mangsa fesyen walaupun memakai sandal berharga ratusan ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:00 AM