PEMANDANGAN indah dalam tasik ketika kering dengan pelbagai spesies rumput menambahkan keindahan pemandangan.
PONDOK tempat berteduh dibina dan papan penunjuk arah kemudahan yang ada di situ sebagai panduan pengunjung.
SEBUAH perahu berhias menyertai pesta perahu yang diadakan di Tasek Takong.
D J Dolasoh
rencana@hmetro.com.my


Idea seni bina landskap yang unik dan mesra alam turut mempopularkan Taman Tasek Takong (TTT) Pengkalan Hulu, Perak sebagai taman beraneka warna sesuai untuk bersantai dan beriadah.

Selain turut dijadikan lokasi pelbagai aktiviti kemasyarakatan peringkat negeri dan dengan Thailand.

Taman Tasek Takong seluas kira-kira 4,000 meter persegi dengan 1,000 meter daripadanya adalah bahagian tasik sarat dengan sejarah silam hingga kini kekal dengan nama panggilan Tasek Takong.

Tasek Takong mendapat nama ketika Raja Reman yang memerintah Pattani, Thailand hingga ke jajahannya di Pengkalan Hulu (dulu dikenali Kroh), Lenggong dan Kedah lebih 100 tahun lalu dan berakhir selepas daerah itu diserahkan kepada kerajaan Perak pada 16 Julai 1909.

Bagaimanapun, tasik sebelum itu adalah kawasan tanah rata tetapi Raja Reman mengerahkan penduduk supaya membuat takungan bagi memberi kemudahan kepada ratusan ekor gajah miliknya berkubang dan mandi-manda.

Sementara nama Kroh pula bermula dengan wujudnya sebuah sungai kecil yang sangat keruh airnya mengalir melalui kawasan ini berpunca dari sebuah kampung yang bernama Selarong daripada nama bahasa Arab bermaksud ‘denai gajah.’

Pada 4 Januari 1984, ketika pemerintahan Sultan Perak Ke-33 iaitu Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah (Sultan Idris Shah II), baginda berkenan meminda nama Kroh kepada Pengkalan Hulu kerana tempat ini menjadi lokasi persinggahan apabila baginda berangkat ke daerah Hulu Perak.

Kaitan antara gajah dengan nama Kroh juga diabadikan menerusi logo Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH), Perak.

Oleh itu, MDPH mengabadikan replika dua gading gajah berwarna putih dibina di pintu masuk ke Taman Tasek Takong ini sebagai simbol lokasi yang penuh sejarah itu dan membina landskap indah di TTT dengan kreativiti menarik.

Sebuah pentas dibina dengan simen dan bertingkat dikelilingi pelbagai pokok termasuk spesies palma serta deretan bangku di sekelilingnya bagi memberi kemudahan pengunjung dapat menyaksikan acara diadakan lebih selesa.

Taman permainanan kanak-kanak dengan pelbagai bentuk dan laluan pejalan kaki serta deretan bangku serta beberapa pondok untuk ibu bapa berteduh sambil memantau anak bermain disediakan.

Pemandangan menarik TTT kerana lokasinya berlatarbelakangkan bukit-bukau di sebelah utara yang bersempadan dengan Thailand, timur dan barat serta udara segar bersih dari angin perbukitan menyebabkan taman ini menerima ribuan pengunjung seminggu termasuk dari Baling, Kedah dan Selatan Thailand.

Lebih menarik, Taman Tasek Takong dibangunkan MDPH ini sebagai pusat pelbagai keramaian termasuk pesta perahu, pesta menangkap ikan, pesta songkran dan pelbagai acara dengan Thailand hingga ia menjadi popular dalam kalangan masyarakat Siam dari Selatan Thailand.

Bagaimanapun, ketika air tasik kering kesan kemarau menyebabkan pelbagai spesies rumput tumbuh dalam tasik berkenaan hingga memberi satu pemandangan terutama apabila dilihat pada pagi atau petang hingga ramai pengunjung yang datang dan berselfie.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:00 AM