SYAM kini antara penulis novel terlaris di pasaran.

Putaran hidup manusia memang sukar dijangka. Benarlah kata orang, kita hanya merancang namun Allah SWT yang menentukan.

Hakikat inilah yang semakin jelas difahami serta dihayati oleh Nur Azyyati Abu Bakar, 37, selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang kira-kira sembilan tahun lalu.

Selain reda dengan ketentuan Ilahi, dia kini menikmati hikmah di sebalik masalah kesihatan yang dihadapi apabila namanya semakin menonjol sebagai penulis novel paling laris di pasaran.

Menggunakan nama pena Syamnuriezmil, Nur Azyyati yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Syam boleh dikategorikan sebagai penulis yang berjaya. Bukan saja novelnya sentiasa mengungguli carta jualan malah mencetuskan fenomena apabila kebanyakannya diangkat menjadi filem dan drama rantaian televisyen tempatan.

Peminat novel atau filem mahupun drama pasti tidak mudah melupakan karya seperti Tuan Anas Mikhail, Awak Sangat Nakal, Suamiku Mr Prefect 10, Suami Tanpa Cinta, Terlanjur Mencintaimu, Sepi Tanpa Cinta, Cik Serba Tahu dan Isteri Untuk Disewa antara novel yang menjulang nama Syamnuriezmil.

Ikuti temu bual M bersama Syam:

M: Ceritakan serba sedikit latar belakang Syam.

SYAM (S): Saya anak sulung daripada tiga beradik, berasal dari Shah Alam, Selangor tapi kini menetap di Ipoh, Perak. Saya berkelulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan dan pernah menjawat jawatan pengurus di sebuah bank sebelum menjadi penulis sepenuh masa sejak 2016.

M: Sejak bila Syam membabitkan diri dalam bidang penulisan novel?

S: Saya memang memiliki bakat dan meminati bidang penulisan sejak kanak-kanak malah sangat aktif semasa di sekolah dan universiti. Mungkin ia diwarisi daripada dua penulis tersohor, Datuk Dr Zurinah Hassan dan Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ibu saya.

Bagaimanapun, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya akan menjadi penulis novel apatah lagi kerjaya dalam bidang perbankan membataskan waktu untuk melakukan perkara lain. Namun, apabila saya disahkan menghidap masalah buah pinggang pada 2008, ia mengubah segala-galanya. Dari sinilah bermulanya karier saya sebagai penulis novel.

M: Apa kaitan masalah kesihatan Syam dengan pembabitan sebagai penulis novel?

S: Ia memang sangat berkait rapat kerana jika tidak menghidap masalah buah pinggang mungkin saya tidak bergelar penulis seperti sekarang.

Akibat masalah itu, saya perlu melakukan dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Ketika itu saya terfikir apa yang saya mahu lakukan selama empat jam setiap kali menjalani dialisis?

Doktor mencadangkan melakukan perkara yang saya minat kerana menurutnya, ia bukan saja dapat mengatasi rasa bosan malah boleh menjadi terapi untuk menangani tekanan sepanjang proses rawatan itu.

Oleh itu, setiap kali menjalani dialisis, saya gunakan masa itu untuk menulis cerita bersiri dan dimuat naik ke blog. Tidak sangka ramai yang membaca serta memberi komen positif. Malah, ada yang mencadangkan supaya saya menerbitkannya sebagai novel.

Pada masa sama saya turut memuat naik karya itu ke sebuah laman web. Mungkin rezeki saya, pemilik laman web terbabit berminat untuk menerbitkan novel saya.

Novel pertama saya hasilkan ialah Terlanjur Mencintaimu yang mendapat sambutan luar biasa sehingga diulang cetak beberapa kali. Malah, ia turut mencatat rating tontonan yang tinggi apabila diadaptasi kepada drama bersiri di sebuah stesen televisyen.

M: Setakat ini, berapakah jumlah novel dihasilkan?

S: Saya sudah menghasilkan 14 novel, sembilan novelet dan 11 antologi cerpen sepanjang hampir 10 tahun aktif terutama selepas menjadi penulis sepenuh masa sejak tahun lalu.

M: Kebanyakan novel Syam dikategorikan paling laris dan menjadi pilihan diangkat menjadi drama atau filem, apakah resipi di sebalik kejayaan ini?

S: Boleh dikatakan setiap novel saya berkonsepkan komedi romantik. Pada masa sama, saya turut selitkan konflik kekeluargaan. Di samping itu, saya menggunakan bahasa yang mudah difahami. Tiga elemen ini menepati cita rasa serta dekat dengan kehidupan masyarakat kita.

M: Ada yang beranggapan novel yang dihasilkan penulis sekarang termasuk Syam hanya bersifat komersial malah dilabel sebagai novel murahan atau picisan. Apa komen Syam?

S: Istilah murahan atau picisan bergantung kepada persepsi seseorang. Contohnya, seorang guru mengkritik tajuk novel Isteri Untuk Disewa yang dianggap tidak membangunkan minda pelajar. Jawapan saya sangat mudah, jangan sekadar baca tajuk tapi bacalah isinya.

Dalam strategi pemasaran, tajuk sangat memainkan peranan untuk menarik minat pembeli. Tapi tidak bermakna isinya kosong dan ‘hampas’. Dalam setiap karya, saya tetap selitkan nilai murni dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca.

Malah, dalam beberapa isu yang diutarakan, saya membuat kajian dan meminta khidmat nasihat mereka yang arif dalam bidang berkenaan, bukan main hentam keromo saja.

M: Bagaimana Syam mendapat idea untuk menghasilkan sesebuah novel?

S: Idea datang tidak mengira tempat atau masa. Kadang-kadang ketika memandu, ia tiba-tiba menjelma, saya terus memberhentikan kereta di tepi jalan dan menulis. Saya anggap ini sebagai satu anugerah Allah.

Lazimnya, idea mencurah-curah datang apabila saya mula menulis sesuatu cerita. Setiap bab akan saya papar terlebih dulu dalam blog untuk dinilai oleh pembaca. Saya mengambil berat semua komen dan menerima idea mereka untuk mencantikkan lagi jalan cerita.

Selalunya saya hanya menyiarkan setakat bab 30, jika pembaca ingin tahu kesudahannya mereka perlu membeli novel. Ini salah satu strategi pemasaran saya.

M: Bila pula masa Syam menulis?

S: Dulu semasa masih bekerja, saya bangun seawal jam 4 pagi dan menulis sehingga jam 7 pagi sebelum bersiap untuk ke tempat kerja. Kini sebagai penulis sepenuh masa, saya mempunyai waktu yang lebih selesa untuk berkarya, cuma pastikan waktu malam untuk berehat.

M: Mengenai masalah kesihatan Syam, sejauh mana seriusnya penyakit buah pinggang yang Syam alami sekarang?

S: Kerosakan buah pinggang saya sudah sampai tahap lima iaitu ia perlu diganti. Namun, sehingga sekarang saya belum menemui buah pinggang yang sesuai. Buat masa ini saya bergantung kepada rawatan dialisis tiga kali seminggu.

M: Bagaimana Syam mendapat kekuatan untuk menghadapi ujian berat ini?

S: Saya sentiasa berfikiran positif serta menjalani kehidupan seperti biasa. Saya juga beruntung kerana suami (Muzaidy Din) sentiasa memahami serta memberi sokongan.

Malah, saya bersyukur kerana di sebalik penyakit yang dialami, ada hikmahnya apabila Allah menggantikan dengan rezeki yang melimpah-ruah sebagai penulis novel.

M: Apakah impian Syam?

S: Saya sudah memiliki sebahagian daripada apa yang diimpikan iaitu syarikat penerbitan dan kedai buku yang menerbitkan serta menjual karya saya secara eksklusif.

The Chapter, lambang kejayaan saya sebagai penulis. Saya ingin mengembangkan ia menjadi sebuah empayar. -Rodly Fadly

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 12:35 PM