URUSETIA dan peserta Kayuhan Kami Benci Dadah PEMADAM Daerah Pokok Sena merakamkan kenangan sebelum kayuhan.
Mohd Sharumisiham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my


Seramai 100 peserta Kayuhan Kami Benci Dadah PEMADAM Daerah Pokok Sena, Kedah menamatkan misi kayuhan sejauh 16 kilometer di samping mengedar dan menyebarkan maklumat berkaitan kesan penyalahgunaan dadah sekitar daerah itu, baru-baru ini.

Menurut Pegawai Daerah Pokok Sena Norizan Ghazali, program anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Pokok Sena ini disertai pelajar beberapa sekolah dan kakitangan kerajaan bermula di Dataran Sena berhampiran Pejabat Daerah Pokok Sena yang berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi.

“Peserta kayuhan singgah di beberapa lokasi yang ditetapkan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payung, Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena 2.

“Di setiap persinggahan, pihak PEMADAM Pokok Sena menyerahkan risalah, poster dan pemidang yang ditandatangai peserta untuk diletakkan di sudut antidadah sekolah berkenaan,” kata Norizan yang juga Pengerusi PEMADAM Daerah Pokok Sena.

PEMADAM adalah sebuah badan bukan kerajaan yang aktif memberi kesedaran berkenaan kesan buruk dadah kepada orang ramai terutama ibu bapa dan pelajar sekolah.

Malah PEMADAM Daerah Pokok Sena antara yang aktif di Kedah dalam menjalankan peranannya.

Program sehari itu mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lada.

Menariknya, Ahli Dewan Undangan Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin turut berkayuh bersama peserta hingga ke persinggahan pertama sejauh hampir lima kilometer dan selepas itu berkonvoi bersama kenderaan lain hingga tamat program.

Pada akhir kayuhan, peserta dipersembahkan dengan kecekapan dua anjing Unit K9, Jabatan Kastam dan Eksais Malaysia mencari dadah tersembunyi dalam kotak dan mendengar ceramah daripada Pemadam Kebangsaan serta Pejabat Belia dan Sukan.

Perasmian penutupan program dilakukan Timbalan Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 12:18 PM