MENGUKIR corak pada tembikar terenang memerlukan daya kreativiti.
MOHD Zamani (kiri), Mohamad (tengah) dan kakitangan UMP menunjukkan tembikar terenang.
TEMBIKAR terenang mengalami proses pengeringan.
PEMBUATAN secara tradisional mampu menghasilkan tembikar terenang yang berkualiti dan tahan lama.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Pandangan mata perlu tajam, fikiran jangan sesekali melayang malah kedudukan siku di atas paha perlu dititikberatkan bagi memastikan tanah liat yang dibentuk menggunakan kaedah tradisional (tangan) berjaya menghasilkan tembikar terenang berkualiti dan tahan lama.

Itu antara kriteria yang perlu ada pada penggiat terenang dan bukan semua orang berkemahiran dalam menghasilkan kraf berkenaan kerana reka bentuk serta ukirannnya agak unik berbanding kraf labu sayong yang begitu popular di Perak.

Penulis yang berkesempatan buat pertama kalinya melihat proses pembuatan terenang atau sinonim dengan gelaran tembikar Tembeling di Temin Kraf Enterprise, Kampung Temin, Jerantut, Pahang, baru-baru ini mengagumi kesungguhan dua sahabat mempertahakan seni warisan kraf ‘kampung’ itu daripada terus hilang ditelan zaman.

Terenang bagaikan tiada dalam ‘kamus’ masyarakat terutama generasi muda hari ini tetapi bagi yang mencintai sebagai warisan seni kraf turun-temurun ini pasti berusaha mempertahankannya daripada hilang begitu saja. Tidak terkecuali dua rakan kongsi berkenaan.

Penggiat dimaksudkan, Mohamad Zakaria, 48, dan Zainal Idris, 51, nyata enggan mendiamkan diri dan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memartabatkan kembali kraf terenang.

Mohamad berkata, ketika ini Temin Kraf Enterprise yang mula beroperasi sejak tahun 2000 adalah syarikat kraf tangan tanah liat tunggal yang menghasilkan terenang dan produk berkenaan hanya boleh ditemui di Jerantut saja.

Katanya, kesungguhannya mempelajari seni pembuatan terenang daripada ‘orang lama’ Kampung Pasir Durian, Noriah Mohd Ali, ketika berusia 18 tahun membolehkan kraf tangan itu terus dihidupkan hingga kini.

“Saya mengambil keputusan berpindah ke Kampung Temin dari Kampung Pasir Durian kira-kira 17 tahun lalu kerana tiada orang yang boleh mengajar menghasilkan terenang.

“Mungkin sudah ‘jodoh’, saya dipertemukan dengan Zainal dan kami sepakat menubuhkan Temin Kraf Enterprise bermodalkan RM100,000 untuk membina bengkel bagi memudahkan urusan pemprosesan, promosi dan jual beli produk,” katanya ketika ditemui di bengkel kraf berkenaan, baru-baru ini.

Mohamad berkata, terenang dikatakan berasal dari Kampung Pasir Durian, Kuala Tembeling yang terletak kira-kira satu jam perjalanan menuju ke bandar Jerantut.

Apa yang sedikit melucukan katanya, ada golongan muda yang beranggapan terenang adalah sebuah nama tempat atau sejenis kain sutera yang menjadi persalinan orang terdahulu.

“Hakikatnya, terenang adalah sejenis kraf tangan tanah liat yang dijadikan bekas meletak dan menyimpan air masyarakat zaman dahulu selain dijadikan tempat menyimpan barang kemas berharga dan bekas jampian.

“Hari ini, terenang lebih sesuai dijadikan cenderahati dan menghiasi almari mereka yang berminat menyimpannya walaupun fungsi secara tradisionalnya digunakan untuk mengangkut dan menyimpan air,” katanya.

Menurutnya, membentuk terenang menggunakan kaedah tradisional (menggunakan tangan) tidak sama dengan acuan kerana ia memerlukan lebih masa dan ketelitian.

“Bentuknya yang kecil di bahagian tapak dan besar di tengah menyebabkan terenang lebih mudah pecah jika tidak melakukannya dengan lebih berhati-hati berbanding terenang yang menggunakan acuan khas,” katanya.

Mohamad berkata, beberapa proses seperti kesesuaian tanah, kualiti dan kuantiti bahan, campuran bahan mentah seperti besi, pasir dan batu kapur perlu diutamakan dan ia bukan satu perkara mudah untuk dilaksanakan.

“Kerja di peringkat permulaan memang sukar tetapi apabila sudah melalui proses ‘mencanai’ di atas papan pengisar, idea untuk membentuk terenang datang dengan sendiri.

“Selepas siap diukir, terenang perlu dijemur terlebih dahulu sebelum dibakar dalam ketuhar khas pada suhu antara 800 hingga 1,200 darjah Celsius selama lapan jam bergantung pada saiz,” katanya.

Menurutnya, setiap corak menggunakan kaedah terapan kayu menggunakan alat diperbuat daripada batu dan kayu yang siap diukir dengan pelbagai corak selain bahan terbuang seperti penutup bekas ubat gigi serta pensel yang mempunyai nama atau maksud tersendiri.

“Penggiat terdahulu biasanya mempunyai cerita yang tersendiri berkenaan corak yang terukir pada bahagian luar terenang ini. Saya tak (tidak) tahu sangat maksudnya, tapi sedikit sebanyak tahu nama coraknya seperti kelopak, tapak pelanduk, sambar atau semalu, tapak itik, bulan sabit, tulang ikan dan pucuk rebung dan tampuk manggis selain corak yang lebih moden,” katanya.

Menurutnya lagi, penggiat terdahulu mempunyai pantang larang tertentu dalam proses pembuatan terenang bermula daripada mengambil tanah liat hingga siap dibakar dalam ketuhar khas.

“Dahulu mereka hanya boleh mengambil tanah liat sama ada yang diambil di sungai atau digali dalam tanah pada hari-hari tertentu sahaja selain tidak dibenarkan membuang angin (kentut) ketika mengambilnya (tanah liat). Ini kerana bimbang tembikar yang dibakar akan pecah. Namun, sekarang pantang larang itu sudah tidak diikuti,” katanya.

Mohamad turut menimba pengalaman berkaitan seni pembuatan tanah liat di Jepun apabila dihantar pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia selama setahun pada 1993, sekali gus meningkatkan kemahiran berkenaan teknologi pembuatan produk menggunakan mesin pemprosesan yang lebih moden.

“Saya mempelajari cara pembuatan terenang yang menggabungkan konsep tradisional dan moden daripada pelbagai pihak dan paling ketara apabila prosesnya menjadi lebih senang selepas acuan khas terenang diperkenalkan,” katanya.

Mohamad berkata, bengkelnya kini mula menjadi tumpuan pelajar sekolah dan pelancong luar negara yang mahu mengetahui lebih mendalam berkaitan terenang.

“Kami juga pernah menerima kunjungan pelancong luar negara yang teruja mempelajari pembuatan tembikar ini malah cukup gembira apabila Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menempah terenang untuk dijadikan cenderahati,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Institut Pendidikan Perguruan Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA), Kuala Lipis, Mohd Zamani Mohd Nor Peah, 44, berkata usaha sedang dipergiatkan untuk mengumpul bahan dan maklumat berkaitan terenang bermula penemuannya di pesisir Sungai Tembeling dan usaha memartabatkannya semula sebagai seni warisan yang diiktiraf.

“Kita tidak mahu ‘permata Jerantut’ ini terus hilang ditelan zaman dan tiada pewarisnya. Kita mahu generasi muda hari ini mempelajari seni pembuatan terenang kerana ia adalah warisan berzaman yang mempunyai nilai yang amat tinggi.

“Tambahan pula setiap terenang yang dihasilkan berserta dengan motif tertentu mempunyai cerita di sebaliknya dan hanya si pembuat yang tahu maksud corak atau motif yang dihasilkan,” katanya yang kini mengikuti pengajian peringkat ijazah kedoktoran (PhD) di Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Beliau yang membuat kajian berkaitan terenang sejak lima tahun lalu berkata, produk yang dihasilkan daripada tanah liat itu berada dalam kelasnya yang tersendiri dan ia dapat dilihat menerusi inovasi yang dilakukan dalam proses pembuatannya yang kini lebih moden.

“Penggiat sudah hampir tiada dan teknik acuan yang dipraktik membolehkan terenang dikeluarkan dalam jumlah yang banyak dalam masa yang singkat dan menjimatkan kos.

“Penggunaan acuan daripada ‘Plaster of Paris’ juga membuatkan terenang boleh dikeluarkan dalam variasi saiz yang bersesuaian dengan fungsi dan secara tiidak langsung mampu memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 12:13 PM