BEKAS Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Kamil Othman (tengah), Hassan dan Mamat (kanan) menunjukkan buku animasi negara yang pertama.

Kekurangan sumber dan bahan rujukan berkenaan filem animasi tanah air menyebabkan ramai yang tidak mengetahui ia sudah bertapak di negara ini sejak 1946.

Filem animasi cereka pertama di negara ini bertajuk Sang Kancil dan Monyet arahan pengarah filem animasi pertama, Hassan Muthalib, 71, berasal dari Alor Setar, Kedah yang kini juga dikenali sebagai pengkritik dan sejarawan filem tanah air.

Menyedari hakikat kekurangan bahan rujukan perkembangan filem animasi di negara ini mendorong Hassan menulis dan menghasilkan buku sejarah animasi negara yang pertama bertajuk ‘From Mouse Deer to Mouse’ dalam versi bahasa Inggeris yang mempunyai kira-kira 295 muka surat.

Buku itu diterbitkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berharga RM120 mengandungi sejarah perkembangan filem animasi bermula 1946 hingga kini dan cetakan pertama mempunyai nombor siri berjumlah 1,000 naskhah.

Idea untuk menulis buku ini timbul ketika beliau bekerja dengan Filem Negara dan ketika itu ditugaskan memberi syarahan kepada penuntut universiti tempatan.

Keadaan itu mendorong beliau mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber bermula pada 1990 hingga buku itu berjaya disiapkan.

Ia boleh dijadikan rujukan kepada penuntut bidang animasi di peringkat pengajian tinggi.

Beliau yang pernah memenangi Anugerah Juri kategori Dokumentari Terbaik di Jakarta sempena Festival Filem Asia Pasifik dan Anugerah Kesan Khas Terbaik menerusi Filem Mat Gelap di Festival Filem Malaysia pada 1990 berkata, buku ini juga memaparkan kisah juruanimasi sejak 1940-an.

Katanya, melalui buku ini peminat filem animasi akan lebih mengetahui teknik menghasilkan filem animasi dahulu yang menggunakan teknik secara manual hingga penggunaan perisian komputer berteknologi tinggi.

“Buku ini juga menghuraikan proses menghasilkan filem cereka animasi pertama di negara kita dan bermula dari situ peminat atau pelajar boleh mengetahui secara mendalam cara menghasilkan filem berkenaan pada masa itu yang serba kekurangan dari segi teknologi.

“Memang berbeza untuk menghasilkan filem animasi ketika itu yang memerlukan kemahiran dan percambahan idea bernas tetapi pada masa kini banyak menggunakan perisian komputer serta tidak membabitkan bahasa visual,” katanya.

Hassan berkata bukanlah mudah untuk menghasilkan buku animasi ini kerana kadangkala segelintir penggiat filem animasi sukar memberikan kerjasama namun baginya itu bukanlah halangan tetapi motivasi dan dorongan kepada beliau ternyata berbaloi apabila berjaya menyiapkan dengan gaya penulisan bermutu tinggi.

Beliau berkata, bidang filem animasi mempunyai masa depan yang cerah dengan penggunaan teknologi digital canggih.

Namun penggiat filem animasi perlu memantapkannya dalam penggunaan bahasa visual jika mahu menghasilkan filem animasi setaraf terbitan antarabangsa.

“Filem animasi kini ditayangkan di televisyen dan pawagam menggunakan teknologi digital dan skop penggunaan juga diperluaskan dalam bidang kejuruteraan, permainan maya serta perubatan .

“Buku animasi yang dihasilkan mempunyai 1,000 cetakan pertama adalah edisi khas yang mempunyai nombor siri sudah berada di pasaran. “Saya berharap penggiat filem animasi, peminat dan pelajar memiliki buku ini,” katanya. -Rosman Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:45 AM