BERGAMBAR kenangan sebelum bermulanya Cyberjaya Eco Hunt.

Hari Bumi Sedunia di Cyberjaya disambut dengan cara tersendiri apabila 304 peserta dari segenap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam Cyberjaya Eco Hunt, baru-baru ini

Program anjuran bersama Setia Haruman dan Shell Business Operations KL Energy Challenge at Work Chapter ini menyaksikan 77 kumpulan bertanding merebut hadiah wang tunai berjumlah RM4,500.00.

Mereka perlu menyelesaikan tugasan berkaitan ‘eko’ dan pada masa yang sama berpeluang mempelajari kepentingan usaha melestari dan memelihara bumi.

Tujuan utama program ini seiring inisiatif Cyberjaya bagi melaksanakan strategi karbon rendah di seluruh bandar, yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Dalam mengetengahkan usaha itu, peserta berpeluang melihat sendiri bangunan seperti Wisma Shell iaitu bangunan pertama di negara ini yang menerima pengiktirafan platinum daripada Leadership in Energy and Environmental Design (LEED).

Sementara Masjid Cyberjaya pula masjid pertama yang dianugerahkan Indeks Platinum Bangunan Hijau di Malaysia.

Peserta perlu menyelesaikan beberapa tugasan sambil mempelajari gaya hidup baharu yang lebih hijau.

Antaranya, kemahiran pemanduan eko peserta diuji dalam perjalanan mereka ke Wisma Shell dan diminta untuk mengenal pasti struktur eko iaitu barangan yang diperbuat daripada bahan kitar semula.

Satu daripadanya ialah kerusi hijau yang dihasilkan daripada botol terpakai.

Peserta juga berpeluang berbakti untuk alam semula jadi di Cyberview Resort and Spa apabila mereka ditugaskan untuk menanam tumbuhan herba seperti rosemary, taim, pudina, kemangi dan oregano yang dapat membantu kitaran karbon.

Tumbuhan berkenaan turut digunakan Sembunyi Spa dalam sesi rawatan terapeutik serta penghasilan jus mereka.

Tugasan terakhir yang paling mencabar apabila peserta diminta untuk membina panel solar sendiri menggunakan bahan disediakan.

Panel yang siap disumbangkan ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut, Sepang dan digunakan dalam projek khas sekolah sebagai salah satu inisiatif untuk mendidik murid berkenaan tenaga hijau.

“Semoga usaha murni Setia Haruman menganjurkan program seumpama ini berupaya mencetuskan minat dan menambah bilangan murid sekolah ini untuk meneroka bidang sains pada masa hadapan.

“Terima kasih dia atas sumbangan solar panel itu. Diharapkan supaya sekolah ini terus menjalinkan kerjasama dengan Setia Haruman pada masa yang akan datang,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut, Raja Maimunah Raja Harun.

Tempat pertama acara pencarian eko ini dimenangi Kumpulan Launchpad dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.00 diikuti Kumpulan Kutekats dan MaGIC B.

“Memandangkan ini adalah program yang julung kalinya dianjurkan Setia Haruman, kami sangat gembira dengan sambutan diberikan komuniti Cyberjaya.

“Selaras dengan sambutan ulang tahun Cyberjaya yang ke-20, kami turut merancang pelbagai acara menarik untuk komuniti di Capital of Creation ini dan acara kemuncak yang bakal diadakan iaitu Capital Playground Carnival dijangka berlangsung pada 20 Mei 2017,” kata Ketua Bahagian Strategi Korporat, Setia Haruman Sdn Bhd Siti Mariam.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Cyberview Sdn Bhd, Setia Eco Glades Cyberjaya, Tujuan Gemilang, Prima Properties, MaGIC, Cyberview Resort and Spa, Gardenia dan D’Pulze.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:42 AM