FARRAH Wahida bersama hasil kerja tangannya yang diperbuat dari tanah liat polimer.
BINGKAI gambar antara hasil kerja tangan Farrah.
RANTAI kunci tanah liat yang dihasilkan Farrah.
PATUNG diperbuat dari tanah liat.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Tanah liat sinonim dengan permainan kanak-kanak namun ternyata faktor umur bukan penghalang minat jurutera, Farrah Wahida Saari, 27, yang obses dengannya sejak berumur lapan tahun.

Bertitik tolak dari itu, Farrah Wahida mula mempelajari cara menghasilkan cenderahati diperbuat daripada tanah liat jenis polimer.

Meskipun tiada asas, dia sanggup belajar sendiri dan kemahiran itu nyata berguna kerana Farrah Wahida kini dapat menambah ‘duit poket’ dengan menjual cenderahati hasil kerja tangannya itu di dalam talian.

“Saya mula tertarik dengan tanah liat selepas melihat patung diperbuat daripada bahan itu ketika kecil.

“Sejak itu, saya cuba mempelajarinya daripada orang perseorangan selain menjadikan YouTube sebagai rujukan.

“Lama-kelamaan, minat itu bertambah dan tidak sangka ia akhirnya menjadi pendapatan sampingan kini,” katanya.

Meskipun sudah mahir, Farrah Wahida berkata, dia masih tidak jemu mempelajari teknik lain yang boleh membantunya menghasilkan lebih banyak barangan berasaskan tanah liat.

Baginya, banyak kegunaan tanah liat dan bukan sekadar menghasilkan cenderahati atau tembikar saja seperti yang diketahui umum.

“Disebabkan minat, saya boleh menghabiskan masa berjam-jam ketika di rumah hanya untuk menghasilkan pelbagai barangan daripada tanah liat.

“Mujurlah keluarga memahami minat ini malah mereka turut memberikan sokongan kerana tahu ia tidak sia-sia sebaliknya memberi pendapatan sampingan kepada saya.

“Namun, ada juga mempersoalkan minat saya kerana menganggap harga tanah liat terlalu mahal dan tidak berbaloi untuk membelinya,” katanya yang mengambil tempahan menghasilkan patung hiasan kek, bingkai gambar, anting-anting dan tag nama.

Anak jati Langkawi, Kedah ini berkata, dia gembira kerana hasil kerja tangannya itu bukan saja menjadi pilihan ramai termasuk pelancong luar negara.

Menurut Farrah Wahida, penerimaan baik itu mendorongnya membuat barangan lebih bermutu pada masa akan datang.

“Kalau boleh, saya tidak mahu terlalu tertumpu dalam penghasilan cenderahati semata-mata.

“Sebaliknya, saya ingin menghasilkan lebih banyak barangan seperti meja, kerusi dan lain-lain seperti pencinta tanah liat di luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 6:34 AM