GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
Mohd Hanafis Abd Haris
hanafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Gangguan teknikal dihadapi WhatsApp di beberapa negara, hari ini sudah diselesaikan selepas jutaan penggunanya berdepan masalah untuk berkomunikasi.

Difahamkan, gangguan selama dua jam itu membabitkan kawasan terjejas termasuk di Amerika Syarikat, Kanada, Brazil dan India.

Memetik laporan Reuters, gangguan berkenaan dialami oleh pengguna sistem iOS, Android dan sebahagian peranti Microsoft.

WhatsApp dalam kenyataan berkata, masalah terbabit diselesaikan dalam tempoh beberapa jam kemudian.

"Awal hari ini, pengguna WhatsApp di beberapa kawasan seluruh dunia gagal menggunakan perkhidmatan itu dalam tempoh beberapa jam.

"Namun kami berjaya mengatasi masalah itu dan memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku," kata WhatsApp.

Akibat gangguan berkenaan, pengguna di Brazil dikatakan beralih kepada pesaing WhatsApp iaitu Telegram.

WhatsApp kini digunakan lebih 1.2 billion pengguna seluruh dunia sebagai medium komunikasi utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 7:27 PM