GAMBAR hiasan. FOTO AP.
Mohd Hanafis Abd Haris
hanafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Facebook (FB) hari ini mengumumkan pengambilan 3,000 pekerja bagi operasi komuniti mereka seluruh dunia untuk memantau dan mengekang kelakukan keganasan yang semakin berleluasa di laman sosial berkenaan.

Pengasasnya, Mark Zuckerberg berkata, langkah terbabit diambil selepas pihaknya menerima laporan insiden membunuh diri yang dirakam secara langsung di FB, minggu lalu.

Mark berkata, dengan penambahan tenaga kerja ini, jutaan laporan yang diterima setiap minggu dapat dikaji secara terperinci dan disemak dalam tempoh lebih cepat.

“Pemantauan ini membabitkan rakaman video yang sudah dimuat naik serta yang dijalankan secara langsung menerusi Facebook Live.

“Malah kami mengalu-alukan laporan daripada pengguna jika melihat kandungan tidak bersesuaian. Lebih cepat pengguna melaporkan masalah kepada kami, lebih cepat untuk Facebook mengambil tindakan termasuk menghubungi penguatkuasa sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan diFacebook peribadinya, semalam.

Mark yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Facebook berkata, sekiranya langkah ini diambil, kandungan video berbentuk jenayah, termasuk ucapan yang menimbulkan kebencian dan isu eksploitasi kanak-kanak dapat dipadam dengan lebih efisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 7:01 PM