HIDANGAN udang kara bercili di Restoran Burger & Lobster cukup menyelerakan.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Hidangan udang kara bercili yang disajikan di dalam periuk tanah liat bersama roti brioche sungguh menyelerakan.

Ditambah pula dengan hidangan burger ‘The B&L’ yang mengandungi kepingan daging lembu Australia bersama isi udang kara segar, menjamu selera di Restoran Burger & Lobster Genting World Resort pasti membuatkan anda makan hingga menjilat jari.

Menjadi Restoran Burger & Lobster yang pertama di Asia, Restoran Burger & Lobster ini adalah ‘lubuk’ makan buat penggemar burger daging dan udang kara nova scotion segar.

Menurut Naib Presiden Kanan, Operasi Hotel Resort World Genting Datuk Edward Holloway, Burger & Lobster adalah restoran yang khusus menghidangkan burger dan udang kara nova scotion yang pertama di Asia.

“Restoran yang menyediakan hidangan udang kara segar diterbangkan khas dari Kanada ini adalah tarikan utama di Sky Avenue.

“Ia juga pastinya memberikan rasa baru serta enak udang kara dan burger untuk pengunjung tempatan serta negara jiran menikmati hidangan istimewa di Restoran Burger & Lobster ini,” katanya.

Dirasmikan pada Disember tahun lalu, keenakan udang kara bercili yang dihidangkan dalam periuk tanah liat bersama roti brioche sememangnya kena dengan selera kita orang Asia sekali gus menjadi menu istimewa di restoran ini.

Kuahnya yang pekat dengan campuran telur dan cili potong pula menjadi penambah rasa kepada kemanisan isi udang kara seberat 650 hingga 700 gram (g).

Dihidangkan pula panas-panas dan datang dengan roti brioche. Anda pastinya tidak akan menoleh kiri dan kanan saat menikmatinya.

Sous Chef Sky Avenue, Khairul Azhar Wahid, berkata restoran yang menawarkan konsep bankuet dan gerai ini menawarkan hidangan utama udang kara dengan rasa istimewa iaitu The Original, The Big Boy dan Chili Lobster.

Katanya, udang kara cili menjadi pilihan ramai pelanggan kerana ia bukan saja kena pada selera orang Asia tetapi resipi hidangan ini adalah idea bersama cef di Resort World Genting.

“Sebagai restoran francais, kami perlu mengikut segala menu dan bahan yang digunakan juga perlu sama kecuali ia sukar diperoleh di sini.

“Untuk mencari kelainan dengan 20 restoran Burger & Lobster di seluruh dunia, kami mencipta hidangan udang kara cili ini,” katanya.

Kombinasi rasa pedas, manis dan masam yang bersatu dalam hidangan ini sememangnya sesuai dengan cita rasa Asia. Tetapi tidaklah sepedas masakan bercili yang biasa kita makan.

Hidangan utama lain udang kara original yang dipanggang, disajikan dengan kentang goreng serta sos istimewa dan The Big Boy iaitu hidangan udang kara seberat lebih kurang 3.8 kilogram juga antara menu yang harus dirasai.

Dekorasi restoran yang unik dengan dinding yang diperbuat daripada 104 peti tradisional menyimpan udang kara dan diikuti alunan muzik funki pasti akan membuatkan anda bercakap mengenai keenakan isi udang kara dikenali sebagai ‘Lobster Rolls’ yang dihidangkan bersama roti brioche.

Kata Cef Azhar, Lobster Rolls ini adalah ketulan isi udang kara segar yang dimasak menggunakan tiga gaya penyediaan iaitu ‘The Chili’ (dengan sos cili), ‘The Original’ (dengan mayonis Jepun) dan ‘seven samurai’ (dengan sos berempah).

“Untuk hidangan burger pula, menu ‘The B&L’ yang mengandungi kepingan daging lembu Australia seberat 224g bersama isi udang kara pilihan tepat bagi yang meminati daging lembu dan makanan laut.

“Bagi pelanggan yang inginkan saiz hidangan lebih kecil, ‘The Mayfair’ iaitu burger dengan kepingan daging lembu seberat 168g bersama keju, daun salad, tomato, jeruk, bawang dan sos B&L serta diapit roti bijan brioche pilihan yang tidak mengecewakan,” katanya.

Menambahkan lagi keterujaan menjamu selera di Burger & Lobster, pilihan beberapa pencuci mulut istimewa iaitu creme brulee, mousse pisang, ais krim stracciatella dan tempura durian yang hanya ditawarkan di Burger & Lobster Malaysia sebagai pelengkap hidangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 1:45 PM