LALUAN hutan berakar, tanah lembap dan berlumut perlu ditempuh pendaki sebelum sampai ke puncak Gunung Brinchang dan Gunung Irau.

Terletak di Hutan Simpan Batu Gangan, Cameron Highlands, Hutan Berlumut atau Mossy Forest terkenal dengan keindahan persekitarannya yang dipenuhi pokok bersalut lumut dan situasi itu bagaikan berada dalam hutan sebuah dunia asing.

Berada di dalam hutan berlumut di Gunung Brinchang yang sentiasa berkabus itu bagaikan masuk ke dalam Fangorn Forest dalam filem The Lord of The Rings kerana keadaan bentuk muka buminya di situ mirip lokasi dalam filem berkenaan.

Hutan Berlumut yang tidak jauh dari Ladang Teh Boh Sungai Palas sememangnya mempesonakan dengan daya tarikan alam sarat flora termasuk lumut hijau yang hidup menumpang di atas tanah dan dahan pokok serta fauna sekali gus memberikan pemandangan mendamaikan.

Bagi yang pertama kali ke sini, hutan lumut ini antara lokasi menarik untuk dikunjungi kerana pelbagai subjek unik terdapat di sini.

Mata pasti terpaku seketika melihat pelbagai jenis fauna dan flora seperti periuk kera, orkid hutan, paku pakis, tumbuhan herba malah akar pokok berselirat, lumut segar dan juntaian pokok yang berlilit benar-benar memukau.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang apabila penulis dipelawa mengikuti sekumpulan pendaki dari Kumpulan RBO Kuantan ke Hutan Berlumut, baru-baru ini.

Perjalanan yang bermula pada waktu pagi dalam suasana berkabus pada suhu 16 darjah Celsius cukup menyegarkan.

Walaupun perasaan gusar dan gentar sentiasa bermain di minda kerana laluan yang sedikit ‘menyeram dan menakutkan’ itu, namun dek teruja untuk menikmati suasana persekitaran, penulis menepis rasa gundah itu.

Sejuk dan lembab seumpama lumut yang hidup di atas tanah di kawasan rumah tetapi tidak dinafikan lumut yang hidup menumpang di keseluruhan pokok di Hutan Berlumut sangat cantik.

Melepasi tempat meletak kenderaan untuk ke Hutan Berlumut, sebuah titian berkayu (pelantar) dibina sepanjang 150 meter bagi memudahkan mereka yang berkunjung melihat khazanah ‘dunia lumut’ diselenggarakan Jabatan Hutan Cameron Highlands.

Tujuan utama sudah tentulah untuk pelestarian alam, sekali gus memudahkan lebih ramai pengunjung menikmati keindahan Mossy Forest tanpa perlu memijak lumut yang hidup di sekitar trek selain tidak ‘mengotorkan’ kasut!

Untuk makluman, hutan ini juga menjadi laluan ke puncak Gunung Irau dengan jarak perjalanan sejauh 2.35 kilometer dan berketinggian 2,110 meter dari paras laut yang mengambil masa hampir tiga jam pendakian.

Menurut rakan pendaki, Mohd Ridhuan Abu Hassan, trek menuju Gunung Irau tidak terlalu jauh tetapi ‘kegilaan’ untuk bergambar melambatkan perjalanan apabila masing-masing teruja merakam kenangan.

“Bagaimanapun, ada dalam kalangan pengunjung hanya datang untuk bergambar sambil menikmati keindahan flora dan fauna yang kelihatan seperti Fangorn Forest dalam filem The Lord of The Rings,” katanya yang aktif mendaki gunung dan teroka gua sejak lebih tiga tahun lalu.

Selain itu, katanya, Hutan Berlumut juga kerap menjadi pilihan pasangan pengantin mengabadikan foto perkahwinan berlatar belakang hutan yang lebih menyerupai dunia fantasi dan misteri.

Bagi penulis, destinasi ini benar-benar pemandangan yang luar biasa dan ‘terasa sayang’ untuk meninggalkannya begitu saja!

Situasi di sekeliling Hutan Berlumut boleh membuatkan pengunjung sentiasa berada dalam keadaan yang segar, bertenaga dan positif walaupun sedikit letih kerana banyak berjalan menelusuri laluan licin dan basah.

Difahamkan Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands mengambil inisiatif memasang papan tanda berwarna merah pada pokok tertentu yang tercatat nombor telefon balai berkenaan, alamat e-mel dan latitud serta longtitud untuk mempermudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jika berlaku kecemasan.

Ketua Balainya, Muhammad Haziq Hazmi, berkata langkah keselamatan menjadi keutamaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Kawasan hutan ini mempunyai liputan rangkaian telefon yang membolehkan pendaki menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan seperti cedera atau tersesat,” katanya. -Ainal Marhaton Abd Ghani

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 1:43 PM