SEBAHAGIAN wakil media dan Risda bergambar kenangan berlatarbelakangkan Lata Berembun.
MERENTAS sungai dengan bantuan tali ujian sebelum sampai ke Lata Berembun.
SUASANA dalam kabin yang cukup selesa.
MENUNGGANG ATV di sekitar ladang kelapa sawit dan merentas sungai.
BILIK kabin yang dilengkapi kemudahan lengkap termasuk taman mini cukup mendamaikan.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


deruan air sungai yang mengalir tenang dengan hutan menghijau cukup menyegarkan pandangan.

Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut ditambah bunyi unggas bagai menyanyi lagu selamat datang, cukup mendamaikan sekali gus membawa bersama keletihan memandu dari ibu kota, Kuala Lumpur.

Itulah dirasai penulis saat me­ngunjungi lokasi terbaru ekopelancongan yang cukup mendamaikan dan menanti pengunjungnya dengan pelbagai aktiviti menarik di Ladang RISDA Ulu Slim, Perak.

Dirasmikan 22 April lalu oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pusat peranginan yang berkonsepkan ekopelancongan dikenali sebagai Ecotourism ESPEK ini milik ESPEK Sdn Bhd, anak syarikat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Berkeluasan 4.99 hektar, Ecotourism ESPEK ini adalah ‘training resort’ yang menggabungkan rekreasi bukan saja menarik pelancong luar dan tempatan tetapi sebagai tempat pembelajaran selaras dengan tema ‘where knowledge meets nature.’

Kepelbagaian aktiviti lasak yang ditawarkan di sini antaranya berkayak, rakit arus deras, menunggang ‘all terrain vehicle’ (ATV), flying fox, merentas hutan dan menaiki kenderaan pacuan empat roda menjadikan Ecotourism ESPEK ini destinasi sukan lasak yang perlu dikunjungi.

Air sungai mengalir tenang siap dengan gazebo dan pondok kayu yang tepinya menjadi ‘port’ terbaik untuk memancing dan berkelah.

Kabin yang lengkap dengan taman mini dan dekorasi ringkas tapi indah di hadapan setiap daripadanya menjadikan penginapan di ladang kelapa sawit RISDA ini cukup mendamaikan.

Menyediakan 20 kabin, walaupun kelihatan kecil, namun ia cukup selesa dan boleh memuatkan enam orang dalam satu masa dan dilengkapi tandas, pendingin hawa serta kipas.

Bagi yang inginkan kelainan, menikmati malam yang tenang dengan tidur di dalam khemah pasti mengujakan.

Memulakan penerokaan, penulis bersama rakan media yang berkunjung menerusi program Media Tour @Ecotourism ESPEK dibawa menunggang ATV di sekitar Ecotourism ESPEK.

Meneroka hutan dan ladang kelapa sawit sekitar Ecotourism ESPEK kira-kira dua jam itu nyata menguji kekuatan mental dan kemahiran mengendalikan ATV.

Mana tidaknya, nampak saja pengendalian ATV itu mudah tetapi saat melalui laluan berbukit dan merentas sungai, ia memberi sedikit kesukaran tetapi tetap menyeronokkan.

Sesudah perut yang berkeroncong diisi hidangan gulai ayam dan burung puyuh goreng serta lauk-pauk kampung yang menyelerakan, sesi merentas hutan menuju ke Lata Berembun menanti.

Tepat 3 petang, kami dibawa menaiki trem selama kira-kira 20 minit ke lokasi permulaan merentas hutan ke Lata Berembun iaitu di Loji Air Sungai Geliting.

Perjalanan ke Lata Berembun selama kira-kira 45 minit menyajikan kami keindahan alam semula jadi menyegarkan tapi perlu waspada kerana si pacat yang setia menanti mangsa.

Kami juga merentas sebatang sungai yang airnya deras dengan bantuan tali. Langkah sememangnya perlu diatur dengan baik kerana batuan sungai yang menjadi tempat pemijak sedikit licin.

Pendakian diteruskan lagi sehingga sampai ke Lata Berembun.

Mengharungi pelbagai halangan untuk sampai ke Lata Berembun ini ternyata berbaloi dengan apa yang disajikan di depan mata.

Airnya yang deras dan dingin membuatkan ia cukup cantik. Kebersihan dan persekitarannya juga masih terjaga dan cukup cantik kerana ia jarang dikunjungi orang.

Menghabiskan masa kira-kira 30 minit mandi-manda di Lata Berembun, kami meneruskan perjalanan turun dengan mengikut laluan sama ke Loji Air Sungai Geliting dan menaiki trem kemudian pulang ke Ecotourism ESPEK dengan perasaan yang cukup puas disebabkan pengalaman diperoleh.

Dalam kedinginan malam, hidangan kambing dan ayam panggang dengan sesi karaoke di Akademi ESPEK, tidak jauh dari tempat penginapan kami, nyata pelengkap aktiviti percutian di Ecotourism ESPEK.

Malam berlalu dengan kedamaian dan ketenangan yang cukup mahal.

Pagi kedua, selesai mengunjungi tiga perkampungan Orang Asli di sekitar Ulu Slim iaitu Pos Bersih, Pos Bangkong dan Pos Gesau bagi menyampaikan sumbangan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), Kolam Air panas Ulu Slim menjadi lokasi persinggahan.

Menjadi antara tarikan pelancong yang popular di daerah ini, kawasan kolam air panas ini memberikan kehangatan yang semula jadi.

Dengan suhu air panas mencecah 104 darjah Celsius, selain boleh melakukan ‘sauna’ terbuka, kehangatan air panas itu juga boleh merebus telur dalam masa kurang 10 minit.

Kehangatan air panas semula jadi nyata masih dirasai saat kembali ke Ecotourism ESPEK dan sudah pasti merendam kaki di sungai sambil menikmati hidangan tengah hari mampu menyejukkan badan.

Aktiviti flying fox sepanjang kira-kira 20 meter di atas sungai cukup menyeronokkan dan penulis berasakan ia memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Lebih-lebih lagi apabila ‘penerbangan’ itu mendarat di dalam sungai yang dingin airnya. Ia sememangnya sesuatu yang berbeza dan sangat menyeronokkan.

Menunggang ATV sudah, merentas hutan juga sudah. Ternyata, segala aktiviti yang dirasai sepanjang bertandang ke lokasi ekopelancongan ini cukup mengujakan.

Ia bukan saja memberi pengalaman yang menyeronokkan tetapi turut memberi peluang kepada pengunjungnya mendekati alam semula jadi yang tidak ternilai harganya.

Pulang dengan sedikit keletihan, namun kenangan dan keseronokan yang dibawa bersama berbaloi dengan apa yang dirasai.

Ketenangan dan kedamaian disajikan juga pastinya sentiasa bermain di fikiran sekali gus menguatkan keinginan untuk bertandang buat kesekian kalinya.

Bagi anda yang tercari-cari lokasi percutian alam yang mendamaikan atau ingin melakukan pelbagai aktiviti lasak yang mencabar, Ecotourism ESPEK nyata tidak akan mengecewakan anda.

Menghubungi pihak pengurusannya di talian 03-42704021 atau layari laman web www.espek.com.my pasti dapat membantu anda merealisasikan percutian idaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 1:37 PM