REPLIKA beca yang dijadikan tukun tiruan diletakkan berhampiran terumbu karang payung di Pantai Kemasin, Bachok.
Hazira Ahmad Zaidi
rencana@hmetro.com.my


Penemuan terumbu karang payung yang terletak di Pantai Kemasin, Bachok dan rangka kapal pengangkut tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua di Pantai Sabak mampu menjadi tarikan baru kepada penggemar aktiviti selam skuba di Kelantan.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud berkata, khazanah marin itu ditemui pada 2013 oleh penggemar aktiviti selam skuba sebelum ia sekali lagi dijejaki beberapa kakitangan di Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan pada tahun sama.

“Kapal pengangkut tentera Jepun iaitu Aswizan Maru atau lebih dikenali sebagai Awajisan Maru atau Awagisan Maru adalah kapal pengangkut seberat 9,794 tan dan sepanjang 140 meter (m) yang mampu memuatkan 5,000 tentera dalam satu masa yang mendarat di Pantai Sabak itu dibom oleh pesawat pejuang Australia sebelum hanyut serta tenggelam.

“Kini, kapal berkenaan berada 20m di dasar laut perairan Pantai Sabak dan tidak semua penggemar aktiviti selam skuba mengetahui adanya destinasi menyelam popular di Kelantan yang mempunyai sejarah luar biasa,” katanya ketika ditemui dalam program Discovery Kelantan The Water Side di Pulau Perhentian, baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat juga terumbu karang payung yang ditemui di perairan Pantai Bachok yang terletak pada kedalaman 23m.

“Bagi menarik penyelam bergambar di kawasan terumbu payung ini, pada Mei 2013, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan meletakkan tukun tiruan iaitu alat kesenian seperti gong, rebana ubi serta permainan tradisional seperti congkak selain replika beca untuk melambangkan identiti kebudayaan Kelantan,” katanya.

Mohd Aidil berkata, sebelum ini, penggemar aktiviti selam skuba di negeri ini hanya tertumpu di Pahang, Terengganu dan Johor namun kini, mereka boleh berbuat demikian di lokasi selaman di Kelantan.

“Sebelum ini, ramai penyelam dari luar negara akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dan menggunakan perkhidmatan teksi ke Besut untuk melakukan aktiviti selam skuba di perairan Terengganu.

“Selepas ini, saya mengharapkan supaya lebih ramai pelancong yang menggemari aktiviti selam skuba singgah ke negeri ini terlebih dahulu untuk meneroka keindahan dasar laut di perairan Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Selam Skuba Malaysia, Syed Abd Rahman Syed Hassan berkata, Majlis Jawatankuasa Selam Skuba Malaysia menyasarkan perolehan berjumlah RM5 bilion melalui industri itu menjelang 2020 di seluruh negara.

Katanya, aktiviti selam skuba mampu menjana pendapatan kepada negara jika dipertingkatkan perkhidmatan mengikut ISO Piawaian Selam Skuba Antarabangsa dan mewujudkan lebih banyak pusat menyelam di seluruh negara.

“Negara sudah memperoleh RM1.5 bilion daripada industri berkenaan membabitkan perkhidmatan pusat selam, kemudahan asas, kelengkapan dan tempat penginapan kepada penyelam.

“Hingga kini, terdapat kira-kira 5,000 pusat menyelam di seluruh negara tetapi hanya 10 hingga 15 peratus sahaja yang mempunyai lesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

“Saya berharap industri selam skuba di negara ini mampu mencapai standard operasi setanding negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Australia. Ini juga penting demi menjaga keselamatan penyelam dan mempertingkatkan latihan selaman kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 1:30 PM