FAIZ ketika pertandingan Pro Evolution Soccer.
ANTARA permainan video digemarinya.
FAIZ bersama ibunya.
FAIZ menjadi penulis sepenuh masa untuk JomGaming.
FAIZ bersama komuniti WolfPack.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Pergerakan yang terbatas tidak menghalang Ahmad Faiz Abu Hassan, 23, untuk melakukan apa yang digemarinya iaitu menjadi seorang penulis bagi sebuah portal dalam talian yang membicarakan isu semasa berkenaan permainan video.

Mengimbas kembali beberapa tahun lalu, Faiz menghidap Penyakit Simpanan Lisosomal (LSD) jenis Mucopolysaccharidoses (MPS) type 4 dan kini menggunakan kerusi roda untuk aktiviti luar sepenuhnya.

“Sejak kecil dulu saya memang aktif dalam sukan fizikal seperti bola sepak namun bermula usia 9 tahun, pergerakan saya mula terbatas dan tidak mampu berjalan jauh kerana kepenatan.

“Selepas beberapa ketika, doktor mengesahkan saya memang tidak dapat berjalan sepenuhnya. Sejak itu saya banyak meluangkan masa di rumah kerana tidak dapat lakukan aktiviti luar,” katanya.

Berikutan itu, Faiz mula bermain permainan video bersama-sama adik beradik lelaki lain kerana banyak menghabiskan masa di rumah saja.

“Abang saya mengajar cara untuk bermain konsol, memperkenalkan permainan seperti Battlefield dan Football Manager. Dari situ saya mula meminati ‘game’ berkenaan dan akan bermain setiap hari,” katanya yang mempunyai konsol Playstation 4 di rumah.

Didorong rasa ingin tahu mengenai komuniti yang berkongsi minat sama, graduan Diploma dalam bidang IT di Open University Malaysia (OUM) ini mula aktif di forum Lowyat, mencari kenalan ‘gamers’ di luar sana.

“Di forum inilah saya mula kenal komuniti ‘game’ Battlefield yang boleh dikatakan sangat mesra dan mengajak saya menyertai mereka. Pernah beberapa kali mereka datang ke rumah untuk mengambil saya bagi menyertai aktiviti ‘gathering’ di luar.

“Selepas berkenalan dengan komuniti WolfPack ini, mereka mengubah perspektif saya dengan menunjukkan permainan video ini boleh dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira kekurangan fizikal.

“Saya pun mendapat idea untuk mengembangkan bakat penulisan yang tertumpu kepada topik-topik sebegini, menyedarkan masyarakat umum bahawa ‘game’ itu bersifat ‘universal’ dan tiada unsur diskriminasi,” katanya yang meminati bidang penulisan sejak di bangku sekolah.

Bersama JomGaming

Melihat semangatnya untuk mengejar impian itu, pengasas JomGaming, Muhammed Badiuzzaman Khairul Anuar melamarnya menjadi penulis bagi portal dalam talian itu.

Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Bad berkata, pada mulanya dia mengenali Faiz sebagai seorang YouTuber dan tertarik dengan video dihasilkannya.

“Sejak awal perkenalan, kami mendapat tahu Faiz aktif memuat naik video sesi permainan ‘game’ di YouTube. Dari situ, kami berminat untuk mengasah bakatnya dalam bidang itu.

“Bagaimanapun, Faiz sebenarnya pandai menulis dan memilih video-video menarik untuk dimuatkan dalam artikelnya. Ternyata, ramai pembaca berminat dengan gaya penulisannya dan sering menantikan artikel baru daripada kami setiap hari,” katanya.

Bad berkata, tidak mustahil pada usia begitu muda, Faiz mampu menyumbang lebih banyak artikel yang berinformasi kepada ‘gamers’ di luar sana.

Lebih ceria, bersemangat

Ibunya, Salbiah Mustafa, 65, berkata, dia turut melahirkan rasa teruja melihat anaknya kembali ceria berbanding dulu.

“Sejak dia mengetahui hakikat (tidak boleh berjalan) itu, Faiz nampak kurang ceria kerana tidak dapat bersukan seperti dulu.

“Bagaimanapun, semua itu berubah apabila dia mula menulis untuk portal dalam talian itu. Memang sudah minat dia jadi saya sebagai ibu sudah tentu menyokong apa saja dia buat.

“Ada juga waktu rakannya datang ke rumah dan mengajaknya hadir ke pertandingan ‘game’ di ibu kota. Ia membuatkan fikirannya lebih terbuka dan tidak termenung saja di rumah. Kiranya baguslah begitu dia ikut kata hati dan kejar apa yang diminati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 7:22 AM