GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa dua individu esok yang disyaki mengemukakan tuntutan palsu berhubung projek kerja penyelenggaraan paip yang diperoleh daripada Petronas.

Kedua-dua suspek, pengarah projek dan pengurus projek syarikat swasta berusia 61 dan 48 tahun itu dipercayai membuat tuntutan palsu RM8.8 juta dalam perlaksanaan projek berkenaan pada 2011.

Sumber berkata, suspek mengemukakan invois untuk projek yang dilaksanakan bernilai hampir RM14 juta, namun projek yang dilaksanakan hanya bernilai kira-kira RM5 juta.

"SPRM juga dijangka menyiasat jika mereka mendapatkan projek-projek daripada syarikat berkaitan kerjaan (GLC) lain dan melakukan kesalahan jenayah yang sama.

"SPRM akan terus mengambil tindakan-tindakan ke atas syarikat-syarikat swasta yang terbabit dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang mengakibatkan kerugian kepada kerajaan," katanya.

Menurut sumber, perbuatan syarikat swasta ini mendatangkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan hasil perbuatan jenayah mereka dan SPRM memandang serius perbuatan kontraktor-kontraktor ini yang sering mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

"Kedua-duanya individu berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua suspek itu akan dihadapkan ke mahkamah untuk dituduh esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 9:13 PM