Mohd Hanafis Abd Haris dan Wan Nur Ameera Meor Rozman
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Vivo Malaysia meneruskan penguasaan mereka dalam penghasilan telefon memfokuskan fungsi swafoto dengan melancarkan model Vivo V5s.

Menampilkan kamera hadapan 20 megapixel (MP) dengan ciri Selfie Softlight, imej swafoto dihasilkan Vivo V5s akan kelihatan lebih asli dengan kesan sperti cahaya studio fotografi.

Bagi kamera utama, ia menggunakan kamera 13MP bersama apertur f/2.2 dengan lampu flash LED.

Ketua Pengarah Urusan vivo Malaysia, Mike Xu berkata, ciri swafoto Spotlight terkini mampu menghasilkan kesan seperti cahaya studio fotografi yang membolehkan pengguna merakam kecantikan diri mereka di dalam apa jua keadaan.

“Kamera ini direka bersama Sony bagi menjanjikan hasil gambar yang jelas, terang dan menyerlah,” katanya ketika majlis pelancaran telefon berkenaan di sini, hari ini.

Daripada segi spesifikasi, Vivo V5s hadir dengan skrin HD 5.5-inci (1280×720 piksel), dijana menggunakan cip pemprosesan 64-bit Mediatek MT6750 dan 4GB RAM.

Hadir dengan kapasiti bateri 3,000 mAh, Vivo V5s mempunyai memori dalaman 64GB, yang boleh ditambah dengan kad microSD sehingga 256GB.

Vivo V5s yang akan berada di pasaran tempatan bermula 10 Mei depan dengan harga jualan RM 1,299 didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Matte Black, Gold dan Rose Gold dan pengguna boleh membuat pra-tempahan di laman web rasmi mereka bermula hari ini.

Majlis pelancaran dirasmikan penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza dan duta baru Vivo yang juga penyanyi tempatan, Joyce Chu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:20 PM
SITI Nurhaliza menunjukkan telefon pintar Vivo V5 ketika majlis pelancaran. FOTO Ghazali Kori