DARI kiri, Ali Teega, Muhamad Dhirar dan Mohd Hazalif berkongsi minat yang sama iaitu berdakwah melalui penghasilan video.
WALAUPUN sibuk, mereka sentiasa komited untuk hasilkan video untuk dimuat naik di media sosial kerana minat yang mendalam dan niat untuk menyampaikan mesej bermanfaat.
SETIAP sesi penggambaran mengambil masa dua jam
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Generasi Y kini semakin kreatif dan bijak memanfaatkan platform media sosial untuk mengetengahkan idea serta menghasilkan video pendek.

Penulis tertarik dengan hasil kerja tiga anak muda ini yang bukan sekadar memberi hiburan tetapi pada masa sama menyampaikan mesej sebagai kunci utama pengisiannya.

Bernaung di bawah nama Teega Production, Muhamad Dhirar Zainal Abidin, 28, Irman Bahrudden Erafarn, 24 dan Mohd Hazalif Mohd Hazani, 24, mula memuat naik video di laman sosial sejak tahun lalu.

Kini, mereka sudah mempunyai pengikut sekitar 54,000 di Instagram dengan lebih 44,000 ‘like’ di Facebook.

Menurut Irman atau lebih dikenali dengan nama Ali Teega, usaha berdakwah melalui penghasilan video tercetus selepas melihat bilangan pengguna media sosial yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Sekarang kita boleh lihat semua lapisan masyarakat mengakses Internet terutama media sosial dan ia sudah menjadi satu keperluan terutama untuk hubungan dan rangkaian.

“Situasi ini yang mendorong kami menyampaikan sesuatu yang bermanfaat dengan cara menghiburkan supaya pengguna media sosial dapat berkongsi ilmu dan pahala,“ katanya.

Mohd Hazalif berkata, dua video dimuat naik setiap minggu dengan setiap video berdurasi satu minit.

“Kami muat naik dua video seminggu dan kebiasaannya mengambil masa dua jam untuk penggambaran. Setiap penggambaran biasanya kami akan susun untuk penghasilan tiga video.

“Walaupun terdapat kekangan masa kerana masing-masing mempunyai latar kehidupan berbeza namun kami bersatu dan sentiasa mencari masa kerana satu minat yang sama iaitu berkarya melalui video sambil berdakwah,” katanya.

Muhamad Dhirar, Mohd Hazalif dan Ali Teega turut menyarankan anak muda supaya berani serta yakin berdakwah melalui penghasilan karya kreatif.

“Cari minat dan bakat terpendam, kemudian hasilkan karya dengan menyelitkan elemen dakwah yang bukan saja manfaat untuk orang lain tapi untuk diri sendiri.

“Sampaikanlah walau sekecil mana pun kerana kita dijanjikan pahala. Menyebarkan kebaikan di platform yang luas seperti media sosial pasti membantu lebih ramai pengguna berkongsi ganjaran,“ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 7:24 AM