AZMIL bersama ‘tulang belakang’ Nasional FM, AidaGia (berdiri kiri) Bibi dan Adilah.
Adam Salleh

Bukan mudah interbiu Azmil Mustapha. Sejak ‘berhijrah’ sebolehnya aktor itu mengelak bertemu pihak media bagi menjaga istiqamahnya agar tidak tercemar. Takdirnya entah apa ‘dijampi’ DJ Nasional FM, AidaGia selaku penerbit, tanpa banyak soal Azmil memberi ‘lampu hijau’untuk hadir di konti stesen itu pada Jumaat lalu bagi menjayakan program Hijrah.

Malah, secara berseloroh Azmil mengusik AidaGia barangkali DJ yang nama sebenarnya Nik Aidawati Yusoff itu mengadakan solat hajat bagi melembutkan hatinya, walhal kesihatan Azmil ketika itu kurang mengizinkan. Kehadiran Azmil ditemani isteri serta seorang anak gadisnya dan lebih menarik ‘Ali Setan’ hadir membawa sejambak bunga buat AidaGia.

Aksi romantis itu persis Taufik (lakonan Azmil sendiri) menghadiahkan mawar merah tanda perkenalan pada Ayu (Fauziah Ahmad Daud) dalam Suara Kekasih arahan Ida Farida. Tersipu-sipu AidaGia, berbunga-bunga hatinya menerima jambangan yang tidak disangka. Penulis turut beruntung kerana diundang AidaGia untuk sesi temuramah bersama Azmil itu.

Turut ‘turun padang’ Pengurus Nasional FM, Bibi Moyedden, mantan Timbalan Pengarah Strategik RTM, Datuk Adilah Shek Omar dan Adzlina Ibrahim, sementara Hijrah dikendalikan DJ Ashila. Pahit getir sejak berhijrah ketika usianya 40 tahun, Azmil kongsi bersama pendengar, antara lain katanya mutakhir ini jika diundang berceramah di luar Lembah Klang belum pasti dapat dipenuhi hasrat penganjur kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Pernah beliau dirawat di Hospital Putrajaya hinggakan doktor minta keluarga menyediakan kain kafan saja.

Bagaimanapun berkat solat hajat dilakukan 10 masjid, tiga hari selepas dikatakan tiada harapan itu, Azmil boleh berjalan kembali. Tanpa berselindung Azmil bercerita ketika aktif berlakon simpanannya pernah mencecah RM3 juta, tetapi kini sumber pendapatannya tidaklah semewah dulu kerana pernah ketika ke mesin ATM baki simpanannya hanya RM11.80 sen.

Keputusannya ke Syria menimba ilmu pada 2006 juga memerlukan kewangan yang besar. Beliau kembali ke tanah air pada 2011 apabila mendapati Syria bakal terjebak
ke dalam kancah perang saudara. Sekalipun ada produser menawarkannya berlakon dengan bayaran RM10,000 sehari (penampilan khas), Azmil menolak kerana cintanya pada Allah mengatasi segalanya.

“Apa yang saya rasai sekarang jauh berbeza dengan apa yang saya rasai dulu. Ke mana saya pergi sekarang ini Allah permudahkan. Saya pernah alami beberapa kali menaiki kapal terbang hanya kelas ekonomi saja, tetapi seringkali saya ditukar ke kelas bisnes. Bagi saya, apabila kita sudah hilang rasa cinta dunia, dapat rasai cinta Allah sedikit pun jadilah.

“Saya kagum Sahabat (Rasulullah SAW) lagi hebat cinta mereka pada Allah. Saya dapat sihat pun, itu nikmat yang tidak terhingga, masya-Allah,” katanya.

Berkongsi info, ketika di era kemuncak Azmil bukanlah artis sengkek. Keluarganya tergolong ‘orang berada’ kerana pada 1901, datuknya sudah mempunyai kereta. Hidup di zaman kolonial ketika itu nasib orang Melayu agak daif. Ayah Azmil pula ahli akademik terkenal juga pensyarah Adilah Shek Omar ketika di Institut Teknologi MARA (kini UiTM), malah kediaman mereka mempunyai padang bola. Cuma inginkan pengalaman, Azmil mencabar diri menjadi kru di Perfima di bawah pengurusan Jins Shamsuddin (Tan Sri/Allahyarham) dan berlakon.

Penghijrahan dilakukan Azmil dulu agak asing dalam kalangan artis lelaki. Berbeza sekarang artis lelaki yang kembali pada fitrah agama sudah tidak terhitung terutama artis kumpulan rock.

Timbul kelucuan juga, sekalipun sudah lama meninggalkan bidang lakonan, tetapi nama Ali Setan begitu melekat pada diri Azmil. Secalit pun beliau tidak berkecil hati apabila nama Ustaz Ali Setan dijaja bagi tujuan promosi setiap kali beliau turun memberi ceramah. Pernah di satu negeri sebaik tiba di pekan negeri itu, Azmil kagum melihat kain rentang (banner) tercatat penceramah Ali Setan. Lebih membuatkannya teruja ketika berceramah, jemaah hadir ribuan orang hinggakan imam masjid itu kata bila dia (imam) ceramah yang hadir tiga saf saja.

Secara berseloroh, Azmil menjelaskan, “Setan nak beri ceramah, mestilah orang ramai datang.” Apalagi imam itu terbahak-bahak ketawa mendengar reaksi spontan Azmil itu.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:04 AM