BASYARUDDIN menunjukkan longgokan timun yang dipetik.

Menggunakan kaedah moden secara fertigasi menjadikan tanaman timun yang diusahakan di kawasan seluas 0.6 hektar sejak lebih setahun lalu di Kampung Batu 8, Labu, Negeri Sembilan, hidup subur.

Bukan itu saja, pengusahanya turut menjual anak benih pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan bahan pertanian lain seperti peralatan ladang serta baja sebagai pelengkap kepada bidang yang diceburinya itu.

Basyaruddin Ali, 23, pemegang diploma bidang perladangan dari Kolej RISDA Melaka itu berkata, projek tanaman timun itu dilakukan selepas melihat harganya mencecah hingga RM2 sekilogram di pasaran.

Katanya, sebaik menamatkan pengajian di kolej, beliau melakukan pelbagai kerja dan pernah berkhidmat kira-kira enam bulan dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Labu.

“Pengalaman dan hasil bimbingan pegawai PPK itu, saya manfaatkan sepenuhnya untuk memulakan projek tanaman timun menggunakan kaedah beg semaian menerusi modal awal 4 RM10,000.

“Pada mulanya saya hanya menanam kira-kira 100 beg semaian tetapi kini keseluruhan keluasan tanah 0.6 hektar ini dipenuhi tanaman timun.

“Selepas empat bulan mengusahakan, saya tidak sangka timun memberikan pulangan memberangsangkan hingga mampu mencecah pendapatan RM8,000 sebulan termasuk melalui jualan anak benih dan baja,” katanya.

Menurut Basyaruddin, tanaman timun juga tidak sukar dan mudah dijaga selain mampu mengeluarkan hasil selepas 35 hari ditanam.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, buah yang cukup matang dipetik setiap hari dan mampu mencecah antara 800 kilogram (kg) hingga satu tan.

“Bagi memastikan hasil tanaman diperoleh maksimum, saya sentiasa memastikan pembajaan mencukupi dan penjagaan tanaman dikawal selia setiap hari dengan mengutamakan aspek kesuburannya.

“Malah, saya melakukan sendiri bancuhan air baja di tangki menggunakan sukatan khas sebelum air itu disiram pada tanaman,” katanya.

Katanya, hasil timun yang diusahakan itu tidak berdepan masalah lambakan kerana ramai pemborong yang membeli, malah usahawan bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memerlukan bekalan timun yang banyak setiap hari.

“Saya juga menjualnya kepada pemborong di Bangi dan peruncit selain peniaga sayur-sayuran tempatan dengan harga borong 70 sen sekilogram,” katanya.

Berkenaan jualan anak benih dan bahan pertanian, Basyaruddin berkata sambutan diterima begitu menggalakkan bukan saja dalam kalangan penduduk berhampiran malah ada dari Seremban, Nilai dan Kajang.

Menurutnya, pelbagai jenis anak benih dijual termasuk durian, cili, mangga, jambu, tin, limau dan rambutan.

“Saya juga berterima kasih kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang membantu memberikan rumah perlindungan hujan (RPH).

“Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) turut memberikan khidmat nasihat dan bimbingan mengenai pengurusan ladang,” katanya. -Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 3:00 PM