IMPIAN Siti Natasha menjadi kenyataan untuk menjejakkan kaki di trek UCI World Cycling Centre Switzerland.
AKSI Siti Natasha di gelanggang.
AKSI Siti Natasha di gelanggang ketika pertandingan di Thailand.
SITI Natasha (paling kanan) bersama penunggang BMX profesional di UCI World Cycling Centre.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Siti Natasha Mohd Basri, 17, satu nama yang tidak asing dalam dunia sukan berbasikal BMX wanita dan turut dikenali sebagai ratu BMX Malaysia dalam kalangan penggiat sukan lasak ini.

Apatah lagi Siti Natasha sudah berjaya membuktikan kemampuannya di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dengan menewaskan pelumba pilihan termasuk yang berada dalam program Kita Juara.

Berjinak-jinak menerusi sukan lasak ini pada usia 14 tahun, Siti Natasha sering meluangkan masa mengasah bakatnya setiap petang di Extreme Park Selayang Permai. Dari jauh, bakatnya diperhatikan pengasas Extreme Park Selayang Permai dan menawarkan peluang kepadanya mewakili Selangor ke SUKMA Perlis 2014.

“Saya mengambil peluang itu memandangkan sudah ‘jatuh hati’ terhadap sukan berbasikal BMX ini. Saya mula menjalani latihan selama tiga jam setiap petang dan diajar teknik mengayuh di trek.

“Ketika pertandingan di SUKMA Perlis, nama saya didaftarkan di bawah kategori Mountain Bike tetapi nasib menyebelahi saya apabila dapat meraih tempat ketiga kerana teknik di trek lebih kurang sama dengan BMX. Sejak itu, nama saya mula menyerlah dan banyak pertandingan BMX yang disertai tidak akan pulang dengan tangan kosong,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Selayang ini.

Ibarat peribahasa tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Itulah yang mencerminkan bakat Siti Natasha apabila dipilih menjalani latihan dan belajar teknik kayuhan BMX di UCI World Cycling Centre, Switzerland selama dua minggu menerusi pencapaiannya selama ini.

“Menjejakkan kaki di UCI World Cycling Centre, Switzerland adalah impian setiap pemain BMX dan saya sangat bertuah kerana dipilih ke sana pada usia semuda ini. Banyak teknik yang dapat saya pelajari daripada tenaga pengajar profesional dan berpeluang mengasah bakat untuk mengukir nama Malaysia di persada antarabangsa suatu hari nanti.

Ramai rakan seperjuangan dalam kalangan lelaki memberi dorongan untuk saya terus menempa nama menerusi acara BMX wanita. Malah saya juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu yang dipelajari dengan rakan lain seperti penunggang BMX cilik, Darwish Putra Muhd Sanusi, 12, yang semakin dikenali kerana bakatnya boleh pergi lebih jauh,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi, dia bekerja keras untuk mendaki kejayaan kerana bukan mudah menguasai sesuatu teknik.

“Jika mahu menguasai sesuatu teknik, saya perlu fokus dan tidak mudah berputus asa terutama apabila membabitkan teknik lompatan di trek. Ini kerana akan jatuh banyak kali tetapi bagi saya kalau kita tak pernah jatuh macam mana nak jadi penunggang BMX profesional?

“Selama lima tahun menceburi sukan ini, belum pernah saya mengalami kecederaan serius cuma luka-luka biasa kerana setiap kali latihan akan mengenakan baju keselamatan,” katanya yang mendapat tajaan Majlis Sukan Negara (MSN).

Siti Natasha berkata, dia kini melakukan persiapan untuk beraksi di pertandingan ACC Thailand pada bulan ini (Mei) dan mahu memenangi pingat emas untuk Malaysia.

“Sekarang ini umur saya masih tidak layak untuk beraksi di Sukan SEA tetapi saya sasar untuk beraksi dan mengharumkan nama negara di Youth Olympic Games, Athens pada 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 11:17 AM