MoU antara UM dan Aged Care untuk projek Continuum Care.
AKTIVITI membantu emosi warga tua.- Gambar hiasan.
warga emas lebih terurus menerusi penjagaan berterusan. - Gambar hiasan.
KESIHATAN warga emas perlu diutamakan.- Gambar hiasan.
SEGELINTIR warga emas gemar menyendiri.- Gambar hiasan.
SOKONGAN keluarga perlu dalam menangani emosi warga emas. - Gambar hiasan.
AKTIVITI membantu emosi warga tua.- Gambar hiasan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Sebagaimana yang berlaku di negara maju, isu penjagaan warga emas di Malaysia kini menjadi semakin penting.

Berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peratusan warga tua di negara ini akan meningkat daripada 3.3 peratus pada 1980 hingga 7.4 peratus pada 2020.

Peningkatan ini adalah lebih daripada sekali ganda dalam masa 40 tahun.

Malah peningkatan ini boleh dikatakan begitu signifikan walaupun agak rendah berbanding negara yang lain seperti Singapura dan Jepun.

Menerusi jangkaan peningkatan populasi golongan berkenaan kelak, sudah tentu memberi cabaran kepada masyarakat secara umumnya untuk menyediakan kemudahan termasuk penjagaan dan rawatan.

Oleh itu, masyarakat juga perlu menanam semangat bertanggungjawab kepada semua warga emas.

Perancangan sempurna perlu diadakan untuk menangani masalah yang bakal dihadapi.

Dalam usaha memastikan penjagaan warga emas di negara ini diurus dengan baik, Universiti Malaya (UM) melalui Fakulti Perubatan membangunkan konsep Continuum Care sebagai keperluan jagaan berterusan khusus untuk golongan itu.

Bagi tujuan itu, satu Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UM dengan Aged Care ditandatangani bagi menangani cabaran yang dihadapi warga emas pada masa kini.

Pakar Perubatan Geriatrik, Fakulti Perubatan UM Profesor Madya Dr Tan Maw Pin, berkata Continuum Care bermakna penjagaan berterusan bagi memenuhi keperluan warga emas yang mungkin bertukar dari semasa ke semasa.

Ia dengan memastikan tahap penjagaan memuaskan dengan sumbangan kewangan yang praktikal.

Isu kemudahan golongan itu akan diberi perhatian termasuk keperluan untuk meningkatkan bilangan profesional terlatih dan sumber manusia mahir bagi menampung peningkatan populasi warga emas.

Tan berkata, Continuum Care membabitkan sistem yang mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan komprehensif dalam kesihatan dan penjagaan.

“Umpamanya jika seorang warga emas itu masih boleh menjaga dirinya dan memasak untuk keluarganya serta menjaga cucu, kemudian menghidap penyakit yang ‘berat’ selain perlu dimasukkan ke hospital untuk jangka masa beberapa minggu. Ada kemungkinan besar, badan mereka lebih lemah selepas kejadian itu.

“Cara penjagaan berterusan mungkin boleh membantu mereka memperoleh rehabilitasi singkat di hospital atau rumah jagaan. Seterusnya boleh balik ke rumah dengan sokongan satu pasukan penjagaan yang akan menolong warga emas itu memenuhi keperluan penjagaan diri.

“Di samping memastikan mereka berpeluang mengembalikan kebolehan atau tenaga yang hilang sepanjang keuzuran,” katanya.

Katanya, industri penjagaan ini memerlukan pelabur, penyelidik, pengurus, penjaga pelbagai kebolehan dan pekerja tanpa kemahiran bagi memberikan perkhidmatan pengurusan penjagaan serta menyampaikan penjagaan di samping perkhidmatan lain mengikut keperluan individu.

“Sebenarnya, sesiapa pun boleh menjadi penjaga. Adalah menjadi hasrat kami untuk memulakan industri dan kerjaya penjagaan.

“Seseorang boleh memulakan kerjaya ini selepas tamat persekolahan sebagai kerjaya vokasional atau mungkin juga ada individu yang ingin menukar kerjaya demi mencapai kehidupan lebih bermakna,” katanya.

Jelas beliau, untuk melancarkan inisiatif Continuum Care, fikiran masyarakat perlu berubah kepada konsep berkongsi tanggungjawab terhadap penjagaan warga emas dan memupuk kuasa mereka untuk menjaga diri.

Ini kerana pada masa sekarang keperluan jagaan untuk warga emas hanya dipenuhi dengan penjagaan oleh ahli keluarga dan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan atau mengupah penjaga sepenuh masa.

Konsep penjagaan warga emas masih lagi dianggap tidak mempunyai ketentuan yang tetap iaitu masyarakat dan pihak berkuasa seolah-olah beranggapan penjagaan golongan ini hanya tertumpu pada aspek fizikal semata-mata tanpa menitikberatkan aspek emosi.

“Masyarakat dan pihak berkuasa seharusnya perlu lebih peka terhadap konsep penjagaan warga tua dengan menyediakan program penjagaan yang lebih sempurna dalam semua aspek baik fizikal mahupun spiritual kerana hakikat manusia tercipta daripada dua unsur berkenaan dan tidak dapat diketepikan sama sekali.

“Ini bermakna program penjagaan yang komprehensif dan menyeluruh sifatnya perlu disediakan untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 10:51 AM