ANTARA peserta yang menyertai program larian.
DR Masran bersama pemenang dalam acara larian.
PESERTA melakukan senam zumba.
Amri Mutalib
am@hmetro.com.my


Larian Amal 50 Tahun Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor baru-baru ini diadakan untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga fakulti berkenaan, penuntut, alumni dan masyarakat.

Program anjuran Unit Pengurusan Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) FSPU turut mengumpul dana untuk membantu pelajar yang memerlukan yang disertai 700 peserta.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Nik Muhammad Nur Azzrai Nik Mohd Nuruddin, 20, memenangi tempat pertama dalam Larian Lima Kilometer bagi kategori C (institut pengajian tinggi awam/swasta).

Nik Muhammad Nur Azzrai berkata dia yang datang seawal jam 7 pagi tidak menyangka memperoleh kemenangan bagi mewakili UiTM Puncak Alam.

“Alhamdulillah, syukur dan bangga kerana rezeki menyebelahi saya.

“Kalau tak silap, hanya saya saja wakil dari UiTM Puncak Alam,” katanya.

Walaupun baru semester satu, Nik Muhammad sememangnya sudah tetapkan sasaran untuk menang.

Penuntut jurusan Pengurusan Pembinaan, Athirah Shuhaimi, 22, memenangi tempat pertama bagi kategori pelajar wanita dalam acara itu.

Baginya sakit anterior cruciate ligament (kecederaan lutut) bukan penghalang untuk meneruskan larian dan memperolehi kemenangan.

“Selama dua bulan saya tidak menjalani latihan disebabkan kecederaan lutut tetapi saya cuba juga kerana mahu menang, katanya,” katanya

Dekan FSPU, Prof Madya Dr Masran Saruwono berkata program ini adalah inisiatif fakulti selaras dengan falsafah teras strategik Kementerian Belia dan Sukan dalam mentransformasikan minat ke arah mempraktik serta mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pelajar perlu didedahkan aktiviti sukan untuk kekal cergas dan bersemangat, bukannya berada di bilik kuliah semata-mata,” katanya.

Katanya, ini kerana sukan antara wadah perpaduan negara yang begitu unik dan penting di samping membantu dalam membentuk masyarakat yang cergas dan produktif.

Acara larian sempena mengingati 50 tahun FSPU diserikan dengan aktiviti lain seperti senaman zumba, tekan tubi, senamrobik dan gerai jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 10:46 AM