TIMOTHY dan Simon ditemui dalam satu temu bual khas berkenaan kecelikan digital dan kebolehpasaran graduan di INTI Subang, baru-baru ini.
RATA-rata siswa menganggap kemahiran digital bukan faktor utama diambil dalam menentukan kecekapan ketika berada dalam bidang pekerjaan.
SEBANYAK 30 peratus majikan melihat kecelikan digital sebagai kemahiran penting yang diperlukan dalam memberikan prestasi kerja baik.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Julai tahun lalu mencatatkan kadar pengangguran pada tahap tertinggi di negara ini iaitu 3.5 peratus. Angka berkenaan adalah yang paling tinggi sejak 2013 dan dijangka terus meningkat.

Isu berkenaan dikeruhkan lagi dengan bayaran gaji rendah dan kurang permintaan dalam sektor pekerjaan sekali gus mencetuskan kebimbangan masyarakat yang meletakkan peningkatan kos hidup sebagai keutamaan bagi Bajet 2017.

Kebimbangan itu terus memuncak apabila terdapat hampir 200,000 graduan baru yang menganggur.

Bagi memahami permintaan sektor pekerjaan yang semakin kompetitif, INTI International University & Colleges (INTI) menjalankan satu kaji selidik membabitkan 316 majikan dan gaduan baru di Malaysia.

Hasil kajian mendapati jurang ketara bagi jangkaan kecekapan dan kebolehpasaran antara majikan serta graduan baru.

Kajian berkenaan turut mendedahkan beberapa perbezaan jangkaan antara dua pihak itu dari segi kemahiran yang dilihat penting bagi melaksanakan sesuatu tugas.

Perbezaan ketara adalah bagi kemahiran digital apabila 30 peratus majikan melihat ia sebagai kemahiran penting yang diperlukan dalam memberikan prestasi kerja.

Namun, melalui kajian yang sama mendapati kebanyakan graduan pula menyifatkan kecelikan digital tidak penting dengan hanya empat peratus menganggap ia faktor utama dalam kecekapan.

Naib Presiden Kanan Pemasaran, Produk dan Kerjasama INTI Timothy Johnson berkata, pengetahuan dalam dunia digital sentiasa berubah dan diperbaharui membuatkan pemahaman terhadap kemahiran digital juga perlu dikembangkan.

“Perbezaan ketara ini sangat membimbangkan kerana kemahiran berkenaan membolehkan graduan untuk hidup, belajar dan bekerja dalam sebuah masyarakat digital maka ia perlu diambil kira dengan serius.

“Sekiranya tidak ditangani, ia mampu menimbulkan salah tanggapan dalam kalangan siswa dan menganggap mereka bersedia untuk memasuki industri walaupun tidak mahir dalam aspek digital.

“Namun apa yang penting, mereka perlu faham celik digital bukan saja bermaksud tahu mengakses data digital tapi bijak untuk mengendalikannya atau dalam kata lain pandai memilih dan memproses data,” katanya.

Ketua Komunikasi Serantau Jobstreet.com Simon Si berkata pada hari ini, teknologi berada di sekeliling kita dan kecanggihannya menjadikan akses terhadap data lebih mudah serta meluas.

“Kebanyakan majikan pula percaya kecelikan digital mampu memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran terutamanya graduan baru.

“Langkah seterusnya di sini adalah untuk mengembangkan kurikulum serentak dengan permintaan pasaran.

“Persaingan yang sengit dan kompetitif turut mendorong lepasan graduan untuk menawarkan sesuatu yang lebih daripada biasa jadi, siswa perlu keluar dari zon selesa bagi memastikan mereka lebih menyerlah dalam situasi kompetitif kini,” katanya.

Dalam kajian yang sama mendapati 29.5 peratus graduan menyifatkan komunikasi sebagai kemahiran terpenting sementara hanya 6.3 peratus majikan melihatnya sebagai satu daripada kemahiran yang diperlukan ketika menilai prestasi seseorang pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 10:28 AM