Muhamad Safar Ahmad

Seorang pengusaha katering di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini dilaporkan nekad menanam sendiri cili padi dan lada merah selepas harga bahan masakan itu mencecah ke paras tidak masuk akal.

Dia mengusahakan tanaman kontan itu secara fertigasi mulai Ogos tahun lalu selepas melihat harga cili padi dan lada merah masing-masing mencecah hingga RM25 dan RM20 satu kilogram (kg).

Selepas lapan bulan,peniaga itu memberitahu dia sudah berjaya menuai hasil tanaman sebanyak 226kg yang mana jika ditukarkan dengan nilai wang sudah berjumlah kira-kira RM5,000. Banyak kan?

Seperti yang semua maklum harga kebanyakan barangan keperluan termasuk sayuran mahal hari ini.

Antara lain ia berpunca daripada kekurangan pengeluaran domestik menyebabkan sesetengah sayuran terpaksa diimport, sekali gus menyebabkan harganya meningkat.

Pada 2015 nilai import barangan agromakanan adalah sebanyak RM45.4 bilion.

Antara yang diimport ialah ialah beras (RM2.1 bilion), ikan dan makanan laut (RM3.6 bilion), sayuran (RM4.5 bilion), buah-buahan (RM3.2 bilion), daging (RM2.7 bilion) dan susu (RM2.8 bilion).

Negara menyaksikan setiap tahun defisit perdagangan agromakanan makin membesar hingga berada pada tahap RM18.1 bilion.

Jika ia tidak dikawal, import produk makanan akan terus meningkat kepada RM55.1 bilion pada 2020 dan RM68.1 bilion pada 2025.

Mungkin ramai yang tidak sedar sayuran di atas meja makan di rumah kita itu bukan datang dari Cameron Highlands, tetapi dari Thailand.

Lalu, saya teringat kunjungan saya ke rumah seorang rakan baru-baru ini yang menginap di pinggir ibu kota.

Agak terkejut sebaik turun dari kenderaan benda pertama saya lihat adalah puluhan pokok cili di dalam pasu yang ditempatkan di tengah-tengah garaj, bukannya kereta seperti yang sepatutnya.

Begitu juga di bahagian belakang rumah dipenuhi dengan tanaman terung dan tomato. Hampir 100 pokok semuanya.

Dia memanfaatkan ruangan terhad di rumah untuk menanam sayuran itu, malah ia bukan sekadar untuk kegunaan sendiri kerana katanya turut dijual di kedai runcit berhampiran.

Sesuatu yang saya perasan, tiada satu pun pasu yang ditanam dengan bunga atau pokok hiasan lain.

Ini sesuatu yang perlu dicontohi. Tidak ramai yang melakukan seperti rakan saya tadi. Lihat sajalah di kawasan perumahan, orang lebih suka menanam pokok hiasan daripada tanaman yang berfaedah seperti sayuran atau buah-buahan.

Mereka yang berpandangan jauh akan bertindak bijak.

Kapasiti pengeluaran produk pertanian di Malaysia ketika ini adalah rendah dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

Peningkatan penduduk dan permodenan kehidupan menjadi cabaran kepada sektor pertanian tentang bagaimana kita memastikan sektor pertanian boleh menyediakan makanan yang cukup, berkualiti dan selesa pada masa kini dan masa depan.

Jika kita rajin melakukan sedikit penyelidikan, akan terjumpa pelbagai kaedah pertanian moden dan ringkas tetapi hasilnya memuaskan.

Pertanian tidak perlu memiliki tanah luas atau modal puluhan ribu. Cukup sekadar ditanam di kawasan rumah.

Bagaimanapun, bagi yang hidup berjiran, agak-agaklah kalau hendak bertani pun, jangan sampai pucuk tanaman terjulur ke rumah jiran pula, nanti lain pula jadinya.

Penulis Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:38 AM