SESI pelancaran disempurnakan Marwi.
SESI memanaskan badan.
ANTARA sesi pembukaan perlawanan.
ANTARA bunga silat Cekak Hanafi dipersembahkan peserta.
SERAGAM dan kemas gerakan dipertontonkan.
PESILAT membuat persembahan.
AKSI wanita membuat persembahan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Seorang pahlawan mengenakan persalinan serba hitam menumpaskan sekumpulan samseng lengkap bersenjata hanya menggunakan gerak silat satu gimik menarik dipertontonkan ketika pembukaan Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi Kali Ke-20 baru-baru ini.

Malah setiap kali adegan hayunan golok penyerang berjaya dipatahkan pesilat, sorakan gemuruh pengunjung mahupun peserta kejohanan memenuhi ruang Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, yang menjadi lokasi rasmi kejohanan berkenaan.

Bagi 2017, Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi Cawangan Negeri Selangor diberi tanggungjawab menjadi tuan rumah kejohanan peringkat kebangsaan membabitkan persatuan silat itu.

Penganjuran kali ke-20 membabitkan temasya silat itu menerima penyertaan 663 peserta dari 27 cawangan seluruh negara bagi peringkat sekolah dan universiti.

Menurut Penaung merangkap Guru Utama Silat Cekak Hanafi Marwi Latiff, silat cekak tradisi ini menekankan nilai memperkasakan budaya bangsa seiring dengan misi pengasasnya Almarhum Ustaz Hanafi Ahmad.

“Saya berpandangan Silat Cekak Hanafi ini antara seni mempertahankan diri Melayu menitikberatkan hal jati diri bangsa selain menerapkan nilai murni terutama mengenai semangat perjuangan.

“Meskipun kami pesilat Melayu sedia maklum dengan kebanjiran seni mempertahankan diri luar yang mempunyai pengikut dalam kalangan muda, gerak Silat Cekak Hanafi masih relevan.

“Buktinya penganjuran setiap tahun, penyertaan peserta dari seluruh negara memberangsangkan malah adanya pimpinan muda seperti Nor Azlan Shah Abdul Gaffor saya percaya silat ini berkembang kepada generasi muda,” katanya.

Katanya, seni silat ini tidak mempunyai saduran mistik dalam buah seninya membuatkan ajarannya diterima baik peringkat sekolah mahupun universiti.

“Dalam pengajaran silat, kami muatkan pengisian seiring dengan ajaran Islam seperti akidah, adab mahupun akhlak.

“Tiada amalan pelik ataupun mistik diamalkan seperti ilmu kebal, ghaib dan sebagainya. Malah saya sentiasa ingatkan anak murid mahupun tenaga pengajar agar menekankan aspek semua kekuatan ataupun kebaikan datang daripada Allah,” katanya.

Pesilat muda dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Ridwan Syawal Erizon mengakui sepanjang pembabitannya sejak empat tahun lalu, tiada gerakan mahupun amalan dalam silat ini menyimpang daripada ajaran Islam.

“Dulu tidak dinafikan pernah juga dengar kata orang kalau ilmu silat ini penuh dengan unsur mistik mahupun ajaran sesat. Tetapi sejak saya mengenali silat ini di awal pengajian di KUIS, saya dapati ia tidak mempunyai unsur bertentangan agama.

“Sebaliknya setiap ajaran mahupun pengisian menekankan mengenai kebergantungan kepada pencipta dan mengenai tanggungjawab sebagai Muslim baik menerusi mempersiapkan diri dengan ilmu manfaat iaitu mempertahankan diri untuk perlindungan,” katanya.

Dalam temasya terbabit Ridwan dilihat sebagai pesilat harapan apabila muncul sebagai pesilat terbaik tahun lalu.

Katanya dalam kejohanan kali ini dia menyertai dua kategori iaitu kategori khas berkumpulan dan kategori serangan kaki.

Untuk kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi Kali Ke-20, lapan kategori dipertandingkan iaitu Menangkis Serangan Pisau, Menangkis Serangan Kaki, Menangkis Serangan Tongkat, Kategori Umum, Persembahan Atas Papan Sekeping, Adegan Praktikal Berkonsepkan Cegah Jenayah, Senaman Asas Wajadiri dan Enam Buah Kreatif serta Kategori Khas.

Manakala ketua pasukan Universiti Teknologi Petronas (UTP) Perak, Shafiq Mohd Nizam tidak menafikan kejohanan ini antara temasya terbesar wajib disertai pasukannya. Namun begitu debaran tetap ada apabila berdepan dengan pasukan kuat serta muka baru.

“Kejohanan kali ini, saya bertanding dalam empat kategori dan tidak dinafikan tanggungawab digalas besar. Jadi sebulan mendekati temasya ini saya dan pasukan membuat latihan intensif memperkemaskan persembahan

“Walaupun setiap tahun kami akan menyertai pertandingan ini tetapi pengalaman serta lawan setiap tahun berbeza begitu juga skil dipersembahkan. Saya dan ahli pasukan memandang serius setiap lawan yang ada.

“Kami berusaha memaparkan persembahan cemerlang dengan harapan kami dilihat pasukan setanding selain mengharumkan nama IPT,” katanya turut memaklumkan pasukannya berjaya membawa pulang emas dan enam gangsa.

Menyentuh sokongan keluarga, kata Shafiq hal itu tidak pernah timbul kerana aktiviti mempertahankan diri ini tidak membebankan jadual pembelajaran.

“Kelas silat biasanya diadakan di luar waktu pembelajaran. Setidak-tidaknya terbabit dalam seni persilatan saya dapat menjaga kesihatan diri dan mental kerana kegiatan luar ini membantu mengurangkan stres,” katanya.

Sementara itu wakil Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Syahidah Sarkini, berkata silat membantu membentuk peribadi sihat.

“Saya minat silat kerana ‘buahnya’ cantik selain sesuai dikuasai wanita. Biarpun gerak langkah lincah, namun masih ada tertib atas faktor seni silat mempunyai disiplin atau rutin tertentu mesti dipatuhi. Contohnya dalam pertandingan, pesilat seperti kami dinilai seawal tertib masuk gelanggang sehinggalah selesai.

“Ini menunjukkan silat bukanlah aktiviti tiada manfaat sebaliknya sesuai buat anak muda sekarang mengasuh diri lebih berdisiplin selain sifat rendah diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 5:14 AM