ASKI seorang peserta wanita.
BEBERAPA peserta ceria berkayuh secara santai.
GELAGAT peserta yang menolak basikal bersama-sama.
GELAGAT beberapa peserta yang menunggu pada waktu pagi sebelum pelepasan.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Perlumbaan lazimnya dikaitkan dengan kepuasan apabila muncul juara tetapi berbeza dengan sukan ini, kepuasannya lebih terletak apabila sama-sama dapat menempuh serta merasai keperitan meredah cabaran yang tersedia. Jika muncul sebagai antara ke sepuluh yang terbaik, ia satu ‘kredit’ buat mereka.

Itulah uniknya perlumbaan basikal lasak basikal bukit atau Mountain Bike (MTB) yang berbeza dengan sukan lain. Malah, kerana keseronokan meredah halangan itulah, majoriti 1,100 peserta perlumbaan basikal lasak Dusun Tua MTB Jamboree 2017 baru-baru ini seakan ‘berpesta’ apabila sama-sama menolak serta menyorong basikal dalam trek berselut pada perlumbaan sejauh 30 kilometer (km).

Apa yang menarik mereka tidak ambil peduli biarpun tidak tersenarai sebagai 10 pendahulu pertama bagi tujuh kategori dipertandingkan asalkan merasai sendiri keseronokan meredah halangan berkenaan.

Bermula tepat jam 8.30 pagi, majoriti peserta berkayuh secara santai biarpun sepanjang lapan kilometer (km) pertama jalan berturap, seramai kira-kira 80 peserta dilihat sudah membuat pecutan awal sekali gus mewujudkan dua kelompok pelumba iaitu kumpulan pendahulu dan kumpulan besar pelumba di belakang.

Namun, sebaik memasuki laluan ‘offroad’ barisan kumpulan pendahulu mula berpecah menjadi kelompok lebih kecil apabila ada peserta mula kehilangan rentak untuk kekal mengekor rapat.

Biarpun aksi lincah pendahulu perlumbaan meredah halangan memukau mata, tetapi pemandangan ratusan pelumba ‘bermain’ selut dengan ‘tenang’ amat dikagumi.

Kesabaran peserta membuktikan betapa kuat semangat mereka menguji kemampuan fizikal dan mental sendiri.

Biarpun tidak menang sebagai pendahulu terbaik, tetapi mereka menang melawan halangan yang ada.

Pengarah Teknikal Dusun Tua MTB Jamboree 2017, Mohd Shari Mohd Noor berkata, perlumbaan lasak itu sudah memasuki tahun kedua sejak dimulakan pada 2016.

Katanya, biarpun mengekalkan konsep perlumbaan, perbezaannya terletak pada keadaan trek dengan halangan berbeza.

“Kali pertama perlumbaan tahun lalu, cabarannya sangat ekstrem di mana pelumba perlu menempuh halangan tiga lapis bukit yang bertingkat-tingkat menyebabkan ramai terkandas.

“Jadi, bagi perlumbaan tahun kedua ini, kita ubah trek di mana peserta perlu menempuh satu bukit tinggi yang memerlukan mereka mendaki hampir satu kilometer dan menuruni kawasan curam hampir 500 meter dalam trek berselut,” katanya.

Sebagai penganjur Mohd Shari berkata, pihaknya komited menyediakan trek terbaik bagi membolehkan peserta menguji kemampuan mereka selain menghayati keseronokan perlumbaan basikal lasak.

Katanya, biarpun hampir separuh peserta terpaksa menyorong basikal ketika mendaki dan menuruni kawasan berbukit, rata-rata berpuas hati kerana ia menepati kemampuan peserta kebanyakannya amatur.

“Dalam menganjurkan perlumbaan ini, perkara utama kita tekankan adalah kepuasan bagi semua peserta.

“Biarpun sukan basikal lasak ini sudah menjadi sukan kegemaran rakyat di negara ini, kebanyakan mereka bukan profesional tetapi mahu turut serta untuk merasai dan menghayati keseronokan cabaran lasak ini.

“Atas kesedaran itulah kita mengambil jalan terbaik menyediakan halangan yang tidak terlalu ekstrem untuk mereka dan berharap sukan ini terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.

Menerusi Dusun Tua MTB Jamboree 2017 sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Junior Lelaki (12 hingga 18 tahun), Terbuka Lelaki (19 hingga 35 tahun), Junior Master (36 hingga 45 tahun), Senior Master (46 tahun ke atas), Terbuka Wanita (14 tahun ke atas), Fat Bike dan kategori Heavyweight yang terbuka kepada peserta berat 90 kilogram keatas.

Lima pemenang pertama menerima hadiah want tunai beserta plak manakala tempat keenam hingga kesepuluh menerima plak.

Perlumbaan adalah anjuran bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Tourism Selangor, IKTBN Dusun Tua, kelab basikal Dusun Tua Cycling Team, Twitter, Bikeaway dan Lembaga Zakat Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 5:04 AM