PENGGUNAAN robot dalam operasi pengeluaran.
OPERASI di kilang Haval di China.
HAVAL mengutamakan kualiti dan ketahanan setiap model keluarannya.
KILANG Haval di Baoding, China.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Pemasang dan pengedar kenderaan Haval di Malaysia, Go Auto (Haval Malaysia) tekad untuk menjadikan negara ini sebagai hab utama jenama itu di ASEAN.

Jenama Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) nombor satu di China itu kini sedia menerokai pasaran lebih luas termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura apabila memperuntukkan pelaburan sehingga RM2 bilion menaik taraf kilang mereka di Gurun, Kedah menerusi tiga fasa secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman berkata, pelaburan jangka panjang selama lima tahun sehing­ga 2021 memperkukuhkan jenamanya di pasaran tempatan dan negara ASEAN.

Kami sudah memulakan program pemasa­ngan tempatan (CKD) di negara ini sejak 2014 dan kini memberi tumpuan terhadap pasaran ASEAN.

“Pada masa sama, Haval sudah menembusi pasaran kenderaan di Batam, Indonesia, Vietnam dan Myanmar selain bercadang memasuki pasaran Filipina dan Laos pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui sempena Pameran Automotif Shanghai (Auto Shanghai 2017) di Shanghai, China, baru-baru ini.

Terdahulu, beberapa wakil media dari negara ini dibawa meninjau kilang Haval di Baoding, China selain merasai sendiri dua model SUV terbaru H6 Coupe dan H9 yang bakal dibawa masuk tahun ini.

Kedua-dua model berkenaan menggunakan enjin 2.0L turbo.

Haval H6 Coupe adalah SUV lima tempat duduk dengan padanan enam transmisi automatik manakala H9 adalah model SUV tujuh tempat duduk, juga menggunakan transmisi sama.

Menurut Ahmad Azam, spesifikasi untuk model berkenaan yang akan dipasarkan di negara ini belum muktamad.

“Namun, harga H6 Coupe bermula daripada RM115,000 manakala H9 bermula daripada RM140,000.

Dalam pada itu, Ahmad Azam berkata, buat masa sekarang, kilang di Gurun hanya menghasilkan model pemasangan tempatan (CKD) H1 dan H2.

“Sebagai permulaan, model terbaru yang bakal dilancarkan adalah import sepenuh­nya (CBU), manakala model CKD dijangka dikeluarkan pada tahun hadapan atau 2019,” katanya.

Ahmad Azam berkata, kemudahan pengeluaran Haval Fasa II di Gurun membabitkan pelaburan RM250 juta kini giat dibangunkan dan dijangka beroperasi tahun depan atau 2019, sebelum fasa berikutnya dibangunkan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 4:17 AM