NAGATA (empat dari kiri) menunjukkan perjanjian antara BSH dan Honda Motor.
HONDA RS150R yang dikeluarkan BSH bakal dieksport.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Pengeluar motosikal jenama Honda di negara ini, Boon Siew Honda (BSH) mencatat sejarah tersendiri apabila bakal mengeksport model motosikal RS150R ke luar negara selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Honda Motor Co Ltd (Honda Motor).

Kelulusan itu membolehkan BSH mengembangkan lagi pasaran motosikal keluarannya dan pada masa sama menggalakkan kesan positif terhadap pasaran tempatan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH Nobuhide Nagata berkata, motosikal Honda sudah berada di negara ini sejak lebih 60 tahun lalu dan kini pihaknya akan mengorak langkah lebih luas dengan menyasarkan untuk mengeksport 700 unit RS150R dalam tahun fiskal pertama ini.

“Model RS150R dilancarkan pada Jun tahun lalu dan berada di pasaran tempatan bermula Ogos tahun sama.

“Ini peluang terbesar bagi BSH dan bersedia untuk bersaing dalam pasaran eksport,” katanya.

Katanya, Honda RS150R antara model terlaris dan pihaknya berjaya mencapai 17,000 unit pengeluaran dalam tempoh hanya lapan bulan selepas dipasarkan.

“Sehingga Mac lalu, BSH menguasai 26 peratus pasaran tempatan dan menyasar lima peratus peningkatan menjelang akhir tahun ini.

“BSH juga sudah melabur dengan pembinaan kilang baru di Batu Kawan, Pulau Pinang, bagi menghasilan motosikal berkualiti tinggi selain untuk eksport,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 3:55 AM