CIK Asmawi bersama Kawasaki H2 yang dimenanginya.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Minat terhadap motosikal berkuasa tinggi mendorong seorang pesara tentera membeli Kawasaki Z800, pada Julai tahun lalu.

Namun, dia tidak menyangka apabila pembelian itu datang bersama pakej menarik hingga membolehkannya memenangi sebuah lagi motosikal Kawasaki model Ninja H2.

Menurut Cik Asmawi Cik Kob, 43, motosikal itu adalah hadiah terbesar pernah diterimanya sepanjang hidup, apatah lagi sejak kecil sudah berangan memiliki jentera berkuasa tinggi.

“Mulanya, saya memang tidak percaya memenangi motosikal kerana hanya dimaklumkan wakil syarikat Kawasaki melalui panggilan telefon.

“Sehinggalah dia memberitahu wakil pengedar sah Kawasaki Motor Malaysia di Kota Bharu, tempat saya membeli motosikal Z800,” katanya ketika majlis penyampaian hadiah itu di Kota Bharu, baru-baru ini.

Cik Asmawi berkata, hadiah diterimanya boleh diandaikan seperti ‘angan-angan jadi kenyataan’ apabila memperoleh motosikal paling berkuasa dalam keluarga Kawasaki dengan percuma.

“Lebih bangga lagi apabila hanya satu model Ninja H2 di Kelantan.

“Sudah tentu saya akan sayangkannya lebih daripada segala-galanya,” katanya.

Terdahulu, Ninja H2 adalah jentera dihasilkan daripada jurutera lumba Kawasaki Heavy Industri (KHI) dengan bantuan KHI Gas Turbine & Machinery Company, Aerospace Company dan Corporate Technology Division.

Model super ini dilengkapi enjin sebaris 998cc dengan dua overhead berbentuk cam mampu mencecah kelajuan sehingga 400 kilometer sejam (km/j).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 3:54 AM