VOLVO S70R tampak garang.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Dengar saja jenama Volvo, pasti ramai mengaitkan jentera ini hanya dikhususkan kepada golongan pertengahan dan atasan atau khususnya golongan berusia.

Kebanyakan kaki modifikasi yang gilakan kelajuan pasti berfikir lebih tiga kali untuk memilikinya kerana tidak banyak enjin sesuai boleh dipadankan. Ditambah pula harganya yang tinggi, selain komponen alat ganti yang tidak boleh dikacuk dengan jenama lain.

Namun, berbeza bagi pemilik Volvo S70R dikenali sebagai Pitot dari Kulim, Kedah, yang memiliki jentera buatan Sweden keluaran tahun 2000 itu dengan nadi B5244 bersesaran 2,500cc berkuasa turbo.

Keistimewaan jentera S70R terletak pada transmisinya apabila satu-satunya varian S70 yang dibekalkan bersama kotak gear manual.

Berbekalkan lima kelajuan manual dan enjin berkuasa 325hp, jentera ini mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 260km/j.

Penambahan intercooler turbo Greddy di sebalik bampar adalah satu kelebihan kepada jentera ini untuk mengurangkan kepanasan enjin yang melampau.

Turut dipasang bersama adalah paip keluli dan hos berkualiti bagi memastikan kuasa turbo disalurkan berfungsi dengan cemerlang.

Kuasa jentera terus dipertingkat dengan pemasangan ekzos berkembar saluran terus binaan khas.

Proses modifikasi enjin nampak ringkas tetapi cukup berkuasa.

Biarpun jentera ini agak panjang, kelincahannya tidak boleh dipandang ringan.

Sudut dalaman pula tampil ringkas apabila pemilik mengekalkan sistem pemanduan asal termasuk stereng V70R dan tempat duduk balutan material khas.

Namun, tambahan dua meter Boost Meter Greddy dan HKS Turbo Timer menampakkan ciri sporty.

Kit luaran pula mengekalkan komponen asal, namun penambahan rim VST bersaiz 18 inci menjadikannya tampak gah.

INFO

VOLVO S70R

• Enjin: B5244 Turbo

• Kuasa kuda: 325hp

• Kotak gear: Lima kelajuan manual

• Greddy Turbo Intercooler

• Greddy Boost Meter

• HKS Turbo Timer

• Meter kelajuan S70R (edisi terhad)

• Ekzos berkembar binaan khas

• Rim VST

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 3:52 AM