KEDIAMAN selesa untuk komuniti Orang Asli di Tapah.
KEDIAMAN dibina berasaskan sumber alam.
DAUN pintu atau jendela menggabungkan anyaman dan kayu.
DINDING dan bahagian dalaman dipasang mengikut kesesuaian individu dan konteks tapak.
ANYAMAN bertam melengkapkan kediaman Orang Asli di Kampung Batu 5.
ANTARA proses pembinaan asas Projek Teratak Semai.
DR Wan Srihani dan Dr Meor Mohammad Fared menunjukkan contoh anyaman bertam untuk dinding kediaman Projek Teratak Semai 3.0 dan trofi Anugerah Inisiatif Sukarelawan Terbaik 2016.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Teknik baru pembinaan kediaman antara keunikan Teratak Semai selain lebih selesa dan kukuh untuk didiami.

Ilmu seni bina menerusi konsep pembinaan kediaman sendiri (self-build housing) itu dikongsi antara kepakaran moden dan pertukangan tradisional.

Sementara kemahiran pertukangan tradisional pula berpeluang dipelajari sukarelawan yang bersama-sama membina kediaman menarik itu.

Di situ terletaknya keunikan Projek Teratak Semai buat komuniti Orang Asli di Tapah, Perak dengan Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk & Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ia turut membabitkan usaha sama antara UPM, Pejabat ADUN Chenderiang dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) selain diperkukuhkan lagi kolaborasi dengan institusi, masyarakat serta individu tertentu.

Memulakan projek pembinaan empat unit kediaman komuniti Orang Asli di Kampung Batu 16 pada Januari 2015, ia kemudian berjaya disiapkan dan diserah milik pada Julai tahun yang sama.

Kos pembinaan lebih kurang RM30,000 ditanggung sepenuhnya MMA. Sementara syarikat Lhoist (M) Sdn Bhd juga turut menyumbang simen bagi memudahkan pembinaan.

Seramai 22 sukarelawan terdiri daripada siswa, alumni seni bina dan 10 staf Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM bergotong-royong mereka bentuk, membina kediaman serta surau Kampung Batu 16 berkenaan.

Menurut penyelidik Projek Teratak Semai Dr Wan Srihani Wan Mohamed, keutamaan program itu adalah untuk memberi impak dari segi pengetahuan dalam pembinaan asas kediaman yang lebih kukuh di samping memastikan ia lebih selesa, selamat dan kekal lebih lama.

“Ia secara tidak langsung memupuk semangat berilmu berbakti dalam kalangan staf, siswa dan alumni UPM.

“Menerusi sedikit ilmu yang dimiliki, mereka dapat berbakti kepada masyarakat yang sangat memerlukan.

“Adunan teknik pembinaan yang baru dan kraf tangan tradisional dapat menghasilkan seni bina lebih kukuh, praktikal dan mesra alam.

“Konsep ‘self-build housing’ dapat membangunkan komuniti Orang Asli untuk lebih berdikari di samping berupaya menghasilkan kediaman dengan kos yang lebih ekonomi berbanding kaedah konvensional,” katanya ketika ditemu bual di Fakulti Rekabentuk & Senibina UPM, baru-baru ini.

Turut hadir dalam sesi temu bual itu Ketua Projek, Projek Teratak Semai Prof Madya Dr Meor Mohammed Fared Meor Razali.

“Projek Teratak Semai 2.0 diteruskan dari Ogos hingga Disember 2015 apabila enam unit kediaman lagi dapat dibina di Kampung Batu 16.

“Lebih membanggakan MMA sekali lagi menyumbang sebanyak RM30,000 untuk pembelian bahan binaan sementara Lhoist (M) Sdn Bhd pula menyumbang bekalan simen.

“Projek Teratak Semai 3.0 diteruskan lagi di Kampung Batu 5, dengan enam unit kediaman juga dibina menggunakan teknik yang sama.

“Gabungan yang mantap antara Majlis Bandaraya Ipoh, staf, siswa dan alumni UPM berjaya menyiapkan semua unit kediaman itu dalam tempoh masa tiga minggu bermula Januari hingga 5 Febuari 2016,” kata Dr Meor Mohammad Fared.

Bagi Projek Teratak Semai 3.0 itu, ia berkenaan mendapat sumbangan kewangan RM39,200 daripada Prestariang Systems Sdn Bhd, D’Aura Group dan beberapa staf Jabatan Senibina, UPM,” katanya.

Begitu juga dengan keunikan rumah yang disediakan di Kampung Batu 5 itu adalah melalui penggunaan daun bertam kerana mudah didapati di kawasan sekitar. Anyaman bertam sebagai dinding diguna pakai untuk semua kediaman itu.

“Menariknya usaha sama Projek Teratak Semai itu diteruskan dengan Persatuan Industri Binaan Bumiputera (PIBB) bagi menjayakan pembinaan sebanyak lima lagi kediaman di Kampung Batu 17,” kata Dr Meor Mohammad Fared.

“Projek itu dijayakan pada Ogos 2016 membabitkan 80 sukarelawan yang terdiri daripada kontraktor kecil, firma arkitek, siswa UPM dan siswa dari Holland.

Sokongan dana kali ini adalah daripada pihak Rotary Shah Alam dan MMA. Pihak PIBB juga ada membantu penduduk kampung berkenaan dalam membaiki surau yang separuh siap.

Kerja pembinaan siap dalam tempoh dua bulan termasuk pemasangan dinding oleh komuniti Orang Asli sendiri.

Ternyata usaha tanpa jemu itu melayakkan Projek Teratak Semai menerima Anugerah Inisiatif Sukarelawan Terbaik 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 7:32 AM