CIPTA laman atau taman vertikal dengan menyusun letak tanaman dalam pasu.
PASTIKAN kolam air berpancuran jenis praktikal diketengahkan.
Faizal Zain

Salam deko buat semua. Minggu ini saya meneruskan perkongsian panduan berkenaan cara memanfaatkan ruang halaman yang kecil atau sempit supaya tampil lebih menarik. Sementara minggu lepas juga sudah saya kongsikan sebahagian darinya. Tahukah anda ruang halaman atau balkoni yang kecil boleh dijadikan sebagai latar landskap unik jika kena dengan caranya? Jadi tiada lagi kompromi atau alasan bahawa ruang halaman yang kecil tidak sesuai untuk dijadikan taman berlandskap indah.

4. ‘Trelis’ atau taman vertikal

‘Trelis’ adalah selapis jaringan kayu yang didirikan untuk mengehadkan pandangan kepada ruang belakang, sama ada kawasan terbuka ataupun dinding batu.

Ia boleh dibuat dengan pelbagai bentuk yang kreatif sama ada dengan ruang tingkap terbuka, bentuk geometri yang pelbagai atau digabungkan dengan elemen lain seperti pasu terracotta.

Anda juga boleh memanfaatkan dinding untuk menempatkan tanaman dalam pasu yang dilekatkan ke dinding itu. Ini dinamakan konsep taman vertikal atau laman vertikal yang sesuai dengan ruang tanah terhad.

Kombinasi ‘trelis’ dan tanaman anda sudah tentu memberikan perspektif baru kepada dinding taman. Cukup menarik!

5. Elemen air terjun atau berpancuran

Elemen air terjun atau berpancuran kini menjadi trend dengan pelbagai jenis rekaan ditawarkan di pasaran.

Memandangkan ruang yang terhad anda boleh gunakan jenis ‘terlekat’ pada dinding.

Ini memerlukan sedikit kos untuk menebuk dinding bagi menjadikannya pancuran air.

Ada pelbagai jenis rekaan sama ada unit berasingan atau sebuah air pancuran sudut yang kecil.

Anda juga boleh menggunakan unit air terjun yang ringkas berbentuk seperti mangkuk atau pasu dengan lelehan air turun.

Bunyinya asyik dan mendamaikan halwa telinga serta pandangan.

Anda juga boleh menggunakan unit air terjun gentian kaca yang ringan dan ringkas.

Menerusi penjagaan yang betul seperti mengelakkan terdedah kepada cuaca panas terik atau mengelakkan daripada ditindih objek berat, elemen air ini mampu bertahan lama.

Semua unit ini memiliki besen air berasingan dan mudah diasingkan menjadikannya senang diselenggara.

Pada masa sama anda boleh meletakkannya di sudut laman yang dikelilingi pokok rimbun bagi mewujudkan suasana redup semula jadi.

Jika laman menerima pancaran matahari yang terik anda juga boleh menggantungkan bidai daripada jenis kayu sesuai untuk hiasan.

Akhir sekali pastikan anda memilih pokok yang sesuai dengan komitmen penjagaan.

Memilih pokok yang memerlukan penjagaan rapi padahal anda sibuk bekerja mungkin bukan tindakan tepat.

Berbincanglah dengan pakar landskap untuk memilih pokok yang sesuai untuk menghiasi ruang halaman kediaman anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 7:25 AM