REPLIKA tunggul simen menghiasi kolam hiasan.
BUNGA cempaka antara yang menghiasi latar landskap.
KEDUDUKAN hotel di tepi pantai menambahkan keunikannya.
Rashidah Ibrahim
rencana@hmetro.com.my

Membentuk taman berhampiran pantai tidak semudah di lokasi lain kerana angin dari laut yang masin memberi pengaruh kepada pertumbuhan tanaman. Jika silap pemilihan pokok dan kedudukan boleh menjejaskan pertumbuhannya.

Udara masin memberi cabaran kepada usaha pembentukan landskap namun bagi Hotel The Qamar, Paka, Terengganu yang terletak di kawasan pantai, tidak menjadikan itu sebagai alasan membiarkan halamannya gersang.

Menurut Pengurus Besar Hotel The Qamar Manan Manaf bagi memastikan tanaman landskap tumbuh segar dan berbunga, pihaknya perlu memahami cara pengendalian tanaman di kawasan berkenaan.

“Kami kena tahu pokok apa sesuai dan tidak dengan udara masin. Jika tidak sesuai, kena kaji bagaimana ia dapat ditanam dan tumbuh dengan segar,” katanya.

“Pertama, perlu memahami sifat sesuatu jenis pokok sama ada ia lasak untuk berada di kawasan berudara masin atau sebaliknya.

“Pokok tidak lasak cepat kering jika terdedah kepada angin masin, mengakibatkan pertumbuhannya tidak sempurna malah boleh menyebabkan ia mati.

“Cara mengatasinya adalah dengan memilih lokasi sesuai di halaman. Pokok kurang lasak ditempatkan di kawasan terlindung seperti bangunan atau pondok,” katanya.

Langkah itu dapat mengelakkan tanaman berkenaan daripada terkena tiupan angin laut secara terus.

Kesan daripada udara masin bukan saja kepada pokok yang baru tumbuh, bahkan pokok sudah besar juga turut terjejas jika ia jenis alah kepada angin laut.

“Biarpun pokok sudah besar, tidak juga bermakna boleh dibiarkan saja sebaliknya perlu diawasi dari semasa ke semasa untuk memastikan pertumbuhannya tidak terbantut.

“Pokok serasi udara masin iaitu jenis yang memang hidup di tepi laut boleh ditanam tanpa pelindung. Antara pokok yang tahan udara masin adalah pokok kertas dan kelapa.

“Pokok yang perlukan perlindungan antaranya ialah cempaka kerana ia alah pada udara masin, oleh itu ia tak sesuai ditanam di kawasan yang terlalu terdedah,” katanya.

Berkenaan sejarah hotel kata Manaf, The Qamar diilhamkan daripada perkataan Melayu ‘kamar’, bermaksud bilik tidur dengan konsep servis penginapan yang selesa gaya resort deluxe.

Dari segi tema, The Qamar yang terletak di atas kawasan seluas 1.6 hektar menawarkan suasana menggabungkan ciri Malaysia dengan gaya penataan seperti ‘di rumah tetapi bukan rumah’.

Menyediakan perkhidmatan sejak lebih 20 tahun lalu dengan nama awalnya Residen Resort, ia kini dalam kategori hotel perniagaan.

Kedudukannya pula di kawasan pantai yang bersih, bagaikan syurga hijau dengan keindahan semula jadi. Menjadi destinasi ideal bagi mereka yang ingin mencari ketenangan dalam suasana tropika.

Bilik penginapan pula direka gaya kontemporari dilengkapi perabot moden untuk keselesaan tetamu. Pilihan unit menghadap pantai, kolam renang, atau kampung berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 7:23 AM