LAPORAN Harian Metro 27 April lalu.
Tuan Asri Tuan Hussein

Ada tiga kejadian besar berlaku dalam seminggu dua ini yang nampak seolah-olah tiada kena mengena di antara satu sama lain, tapi bagi saya ada perkaitan yang amat kuat untuk kita jadikan iktibar dan pengajaran,

Pertama, kisah murid sebuah sekolah tahfiz di Johor, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi. Bermula daripada kisah kedua-dua kakinya terpaksa dipotong akibat kerosakan sel yang dikatakan berlaku selepas dia dipukul warden asrama, sehinggalah dia akhirnya dijemput Ilahi pada Rabu lalu.

Kisah murid berusia 11 tahun itu menjadi perbualan ramai dan berita utama di media dengan kebanyakan pihak melahirkan rasa simpati terhadap nasibnya, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengutuskan ucapan takziah menerusi akaun Facebooknya.

Pada masa sama, tidak kurang juga yang pantas memberikan komen negatif dan menyalahkan warden yang memukul Allahyarham, biarpun hakikatnya siasatan masih dijalankan pihak berkuasa termasuk usaha menentukan punca sebenar kematian.

Malah, ada juga netizen dan wira papan kekunci yang ‘menyerang’ sekolah tahfiz menerusi media sosial terutama WhatsApp dan Facebook, dengan mempersoalkan kelayakan tenaga pengajar, silibus digunakan serta sejauh mana ia berada dalam kawalan pihak berkuasa.

Selain kisah Allahyarham Mohamad Thaqif, satu lagi berita yang turut menarik perhatian ramai ialah penahanan Ibrahim Mat Zain yang lebih dikenali sebagai Raja Bomoh Antarabangsa pada 21 April lalu.

Lelaki berusia 66 tahun itu ditahan polis dan pihak berkuasa agama berikutan beberapa amalan atau ritual perubatan yang dilakukannya didapati bercanggah dengan syariat Islam dan boleh memesongkan akidah.

Dua hari selepas ditahan di lokap, Ibrahim membuat sidang media yang turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi memaklumkan pengakuan bersalah serta keinsafannya di atas keterlanjurannya selama ini.

Malah, bomoh ‘teropong ajaib dan tikar terbang’ itu turut mengumumkan yang dia bertaubat nasuha serta tidak akan mengulangi lagi beberapa amalan khurafat dan syirik yang dilakukannya dulu.

Satu lagi berita besar di media ialah penahanan seorang Pengarah Kanan dan bekas Timbalan Presiden Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) kerana disyaki pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM223,000, Rabu lalu dan kelmarin.

Mereka yang mamiliki pertalian ibu dan anak itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana yang kononnya diperuntukkan untuk program sumbangan kepada golongan miskin.

Menerusi maklumat diterima, tiada seorang pun yang menerima wang sumbangan daripada program berkenaan.

Apa perkaitan di antara tiga kejadian di atas? Jawapannya, ia membabitkan individu dan institusi yang membawa nama, imej dan label Islam.

Mohamad Thaqif murid sekolah tahfiz. Apabila kematiannya dikatakan berpunca daripada insiden dia dipukul oleh ustaz yang mengajarnya, nama sekolah tahfiz dan golongan ustaz turut tercemar.

Raja Bomoh pula akhirnya mengaku yang dia memang tersilap dan tidak menyedari ritualnya selama ini menyalahi syariat Islam. Saya bersyukur kerana Ibrahim akhirnya kembali ke pangkal jalan, namun sukar dinafikan apa yang beliau lakukan selama ini turut mencemarkan imej Islam.

Begitu juga dengan siasatan SPRM ke atas dua orang kuat YAPEIM. Ada perkataan Islam pada YAPEIM. Justeru, jika benarlah berlaku pecah amanah di dalam perjalanan organisasi itu, pastinya imej Islam akan rosak.

Rumusannya, berhati-hati jika kita membawa nama dan imej Islam. Amat besar kesannya, jika Islam yang serba sempurna itu rosak dan tercemar disebabkan kelemahan dan kekhilafan kita.

Bak kata seorang ustaz kepada saya: “Kalau sudah memakai songkok atau kopiah, janganlah pula kencing berdiri bila masuk ke tandas.”

Agak mendalam maksud kata-katanya itu, namun yang pasti ustaz itu mahu menjelaskan bahawa jangan rosakkan Islam. Ia tanggungjawab semua Muslim, namun tanggungjawab itu semakin besar jika kita membawa imej atau label Islam.

Akhir sekali, diucapkan selamat bermesyuarat dan memilih pemimpin kepada ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang rancak bermuktamar di Alor Setar, bermula semalam sehingga Isnin ini.

Mudah-mudahan segala agenda serta urusan mesyuarat berjalan lancar dan tidak akan berlaku apa-apa insiden tidak diingini yang boleh mencemar atau merosakkan nama parti itu dan juga Islam.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 5:53 AM