SEBAHAGIAN produk keluaran EHPS Marketing.
WAN Hamidah bersama suami, Borhanuddin.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Semuanya kerana anak. Masa sukar yang ditempuh dijadikan panduan paling berharga untuk terus menapak yakin dalam dunia perniagaan. Siapa sangka hidup yang dulu hanya mampu menjamah nasi lembik, berlaukkan telur dadar dan kicap kini mampu berdiri kukuh, membantu lebih ramai wanita senasib dengannya.

Ternyata usaha, doa yang tidak pernah putus dan semangat kental, membuka jalan seluas-luasnya kepada Wan Hamidah Wan Hasan, 38, membahagiakan kembali keluarganya. Andai dulu dia bukanlah anak harapan, tetapi kini dia mampu berbakti semahu-mahunya kepada orang tuanya. Jika dulu selera anak disekat, kini dia mampu menghidangkan sebaik-baik makanan untuk permata hatinya.

Walau puluhan kali mengulangi cerita kisah hidupnya tujuh tahun lalu, Wan Hamidah tetap tidak segan menitiskan air mata. Malah dengan rendah hati, wanita ini mengakui dia amat bersyukur dengan limpahan rezeki dan jalan yang Allah SWT lorongkan kepadanya.

“Kalau diimbau kembali zaman kejatuhan kami sekeluarga, saya bagaikan tidak percaya mampu sampai ke tahap ini sekarang. Bermula dengan kisah berniaga anak pokok sawit dan kerugian ratusan ribu ringgit, hutang keliling pinggang, kemudian terpaksa berniaga nasi lemak depan rumah, kemudian dikhianat orang hinggalah saya disahkan hamil anak ketiga.

“Demi Tuhan, ketika itu kami hanya mampu meneruskan hidup dengan baki beras dan telur daripada perniagaan nasi lemak. Sesarang telur kami berjimat untuk sebulan. Hendak dijadikan cerita, sebiji telur terpaksa dicampur sedikit air setiap kali hendak digoreng supaya dapat dikongsi bersama anak. Susu anak juga terpaksa saya bancuh cair. Mujur mereka tidak banyak kerenah.

“Ketika itu juga, saya mengidam makan ikan, tapi seekor pun kami tidak mampu beli kerana suami bertegas menggunakan duit yang ada untuk membayar hutang. Sehinggalah ummi menelefon untuk bertanya khabar.

“Ketika itu saya terpaksa menceritakan perihal kami yang tidak makan. Pada ummi saya mengadu teringin hendak makan ikan dan dia mengajak saya bersama anak tinggal di rumahnya. Suami bagaimanapun tidak ikut,” ceritanya sebak.

Di rumah ummi, Wan Hamidah mengambil masa berfikir semahu-mahunya. Kemudahan Internet diteroka. Dia mula belajar menggunakan Facebook dan melihat bagaimana pengguna laman sosial berkenaan memanfaatkan platform itu untuk berniaga.

“Saya ini jenis buta IT. Malah melakukan transaksi Maybank.2u pun tidak pandai. Jadi, bila nampak orang iklankan produk, saya cuba buat perkara sama. Mengambil berkat 1 Ramadan, saya muat naik gambar masakan ayam penyet dengan nama Ieda’s Kitchen. Tidak lama kemudian, ramai yang meminta dibalas mesej. Tidak semena-mena saya jadi takut.

“Memanglah pandai memasak, tetapi siapa yang hendak hantar? Sudahnya saya terpaksa tolak tempahan secara baik. Kebetulan, ada seorang rakan Facebook menawarkan peluang menjual biskut raya dengan komisen RM5 sebalang dan dalam tempoh kurang sebulan, saya berjaya meraih keuntungan RM980,” katanya ceria.

CARI PELUANG

Sedikit demi sedikit kekuatan diri dikumpul. Wan Hamidah nekad mengunjungi blog demi blog dan bertanyakan peluang untuk menjadi ejen jualan produk. Tekadnya cuma satu, menyediakan makanan dan pendidikan untuk masa depan anaknya kelak.

“Ada pemilik produk yang layan, tapi ramai juga yang mengabaikan permohonan saya. Mungkin mereka fikir saya sekadar meraih simpati kerana setiap permohonan saya buat turut menceritakan kesulitan hidup yang kami sekeluarga hadapi.

“Pada saya, apa yang penting adalah usaha. Di laman Facebook saya menjual apa saja asalkan mendatangkan keuntungan. Kemudian saya beralih kepada jualan produk kosmetik milik anak kenalan ayah. Cabaran, suka, duka, perit semuanya saya harungi.

“Syukur Allah SWT panjangkan rezeki kami sekeluarga. Saya dipelawa seorang rakan untuk menghasilkan produk minuman kesihatan jenama sendiri di kilang GMP yang baru dibuka di Kelantan,” katanya yang sudah lima tahun memajukan syarikat EHPS Marketing Sdn Bhd.

Kata Wan Hamidah, dalam tempoh itu juga, beliau bertatih dan mula menyimpan untuk masa depan keluarga serta anak. Malah sehingga ke hari ini, syarikatnya sudah mengeluarkan 19 jenis produk kesihatan dan kecantikan.

“Itu pun tidak termasuk telekung dan tudung. Saya percaya, ini berkat daripada ilmu yang diperoleh menerusi kelas Dr Azizan. Beliau banyak berkongsi teknik memperkukuhkan rohani dan menyedarkan diri saya betapa pentingnya untuk bersikap reda dalam urusan seharian,” katanya.

SEBAK

Berbeza dengan situasi tujuh tahun lalu, Wan Hamidah berkata, kini dia sebak setiap kali merenung wajah anak mahupun ketika menghulurkan wang belanja untuk kedua-dua orang tuanya.

“Saya tidak pernah lupa bagaimana diri ini dihambat rasa berdosa kerana gagal menyenangkan anak tujuh tahun lalu. Malah saya amat berterima kasih dengan ummi kerana menyedarkan saya mengenai tanggungjawab saat kami jatuh.

“Selalu ayah menyebut, dia tidak sangka saya mampu melangkah hingga ke tahap ini. Saya jadi bertambah sebak kerana sedar diri bukanlah anak harapan keluarga ketika itu.

“Apa yang boleh saya katakan, anak itu adalah tanggungjawab dan amanah. Saya cukup bertuah kerana diberi kekuatan daripada anak dan keluarga. Suami (Borhanuddin Mohd Salleh) juga banyak memberi sokongan dan dorongan. Beliau sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kami hingga ke tahap ini,” katanya.

BANTU WANITA

Ketika ramai mengadu kesempitan ketika ini, Wan Hamidah berlapang dada mengajak wanita yang mahu mengubah nasib diri untuk turut serta dalam perniagaannya selaku ejen.

“Buat masa ini kami ada kira-kira 1,200 ejen dan pengedar di bawah EHPS Marketing. Kalau dulu saya banyak memikirkan soal mencari duit dan untung, kini sudah sampai masanya saya membantu sesama wanita mengubah kehidupan.

“Saya percaya jika kita tidak berhenti membantu orang lain, kita pasti akan terus dibantu di masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 1:11 PM