TIGA pesawah bertuah program IKHLAS BERNAS, Ariffin (baris hadapan, tiga dari kanan), Zakaria (baris hadapan, empat dari kanan) dan Mokhtar (baris hadapan, lima dari kanan) bersama Kamarul Arifin selepas menerima kunci rumah masing-masing.

Tekad Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk membantu meningkatkan taraf hidup pesawah membolehkan tiga daripada mereka menikmati kemudahan kediaman yang lebih selesa.

Ia melalui program IKHLAS BERNAS yang diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK).

Rumah milik Ariffin Yaacob di Kampung Kuchelong, Bachok dibina semula sepenuhnya sementara dua lagi rumah, milik Zakaria Nor dan Mokhtar Mohd Nor, masing-masing di Kampung Bukit Tanah Selising, Pasir Puteh dan Kampung Kubang Telaga, Bachok, dibaik pulih membabitkan kos kira-kira RM130,000.

Program IKHLAS BERNAS adalah inisiatif sosial syarikat ke arah membantu meringankan beban masyarakat kurang bernasib baik di negara ini terutama yang dihimpit belenggu kewangan.

Sebagai badan korporat yang bertanggungjawab, BERNAS tampil dengan inisiatif ini untuk terus berbakti kepada Rakyat.

Program yang diperkenalkan sejak tahun 2000 menerusi Beras IKHLAS bagi membantu mangsa banjir dan masyarakat yang dibelenggu kemiskinan di seluruh negara.

Di bawah program Beras IKHLAS ini, BERNAS memperuntukkan lebih RM1.8 juta setahun (2016) untuk mengagihkan beras kepada golongan sasar yang dikenal pasti.

Program IKHLAS juga membolehkan BERNAS membantu golongan anak yatim dan kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik di Baling, Kedah pada tahun lalu melalui inisiatif IKHLAS Baling yang dimanfaatkan lebih 220 kanak-kanak dan 200 keluarga asnaf.

Selain itu, BERNAS turut meluaskan program ini bagi menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak berbagai bangsa yang mempunyai latar belakang kurang bernasib baik, terutama menjelang musim perayaan di sekitar Lembah Klang.

Baru-baru ini, BERNAS melancarkan Program IKHLAS to School dengan menyediakan pelbagai kelengkapan sekolah termasuklah pakaian seragam, kasut dan peralatan sekolah kepada 371 murid dari empat sekolah di sekitar Selangor.

Ketua Bahagian Operasi Beras Tempatan BERNAS, Kamarul Arifin Ahmad berkata, Program IKHLAS di Kelantan adalah bukti komitmen dan rasa tanggungjawab BERNAS terhadap masyarakat dan pesawah khususnya.

“Ia adalah tanda terima kasih syarikat kepada pesawah setia menjual hasil tuaian padi mereka yang bermutu tinggi kepada BERNAS.

“Inisiatif membaik pulih rumah ini sebenarnya hanyalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk membantu pesawah.

“Pada skala yang lebih besar, BERNAS menyediakan inisiatif sokongan kepada pesawah yang dikenali sebagai Program Rakan Ladang (PRL) membolehkan penyediaan insentif pembiayaan modal pusingan penanaman padi dengan kerjasama Agro Bank.

“Pendedahan berkenaan kaedah dan teknologi terkini dalam Tatacara Pengurusan Ladang turut diberikan,” katanya pada majlis penyerahan kunci di Kampung Kuchelong, Bachok.

Bagi memberikan nilai tambah kepada Insentif PRL, pesawah turut ditawarkan pelbagai faedah lain termasuk Insentif Umrah Petani apabila seramai 100 petani dipilih setiap tahun untuk mengerjakan ibadat umrah.

Anak pesawah juga ditawarkan insentif menerusi penganjuran program motivasi pelajar membabitkan hampir 500 pelajar sekolah rendah dan menengah setiap tahun.

Ariffin Yaacob, Zakaria Nor dan Mokhtar Mohd Nor menerima kunci rumah baru mereka yang siap dibaik pulih semasa majlis penyerahan diikuti majlis doa selamat sambil disaksikan masyarakat setempat.

Sebagai tambahan, BERNAS juga menghulurkan bantuan beras kepada 200 keluarga di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 11:17 AM