DARI kedai bingkai gambar, Satish berjaya mengubahnya menjadi galeri seni yang kini semakin dikenali.
TURUT memantau dan menyiapkan permintaan bersama pekerjanya.
TIDAK kekok mengendalikan mesin pemotong selepas menimba pengalaman belasan tahun.
SATISH memperlihatkan beberapa bingkai gambar yang sering menjadi pilihan pelanggan.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Bukan mudah mencari pekerjaan yang diminati, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi ketika ini.

Peluang pekerjaan yang semakin berkurangan pula membuatkan masyarakat perlu berlumba-lumba untuk menyara hidup dengan apa juga cara asalkan tidak bercanggah dengan agama dan undang-undang.

Kala ramai remaja dan rakan seperjuangan menunggu untuk mendapatkan pekerjaan setanding kelulusan, beliau lebih senang berdikari untuk menampung perbelanjaan seharian.

Minat dalam perniagaan sudah menjadi impian Satish Kumar Kartikesin, 29, sejak kecil. Atas sebab itu beliau sanggup melakukan pelbagai pekerjaan sejurus tamatnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mendapatkan pengalaman.

Paling diingati ketika bekerja sebagai atendan pam minyak di kampung halamannya di Karak, Pahang membolehkan beliau mengenali pelbagai ragam manusia.

Ketika ditawarkan bekerja di Kuala Lumpur sebagai pemandu lori di kedai membuat bingkai gambar, beliau tidak menolak kerana ingin mencari pengalaman di kota metropolitan itu.

“Pada awalnya saya bekerja sebagai penghantar barang kepada pelanggan. Gaji pertama pula tidaklah begitu banyak iaitu sekitar RM800 tetapi ia cukup menggembirakan saya.

“Atas kepercayaan pengurus kedai, saya berpeluang mempelajari kerja halus untuk membuat bingkai gambar.

“Daripada ukuran kecil hinggalah ke bahagian rumit termasuk mengendalikan mesin sudah menjadi sebahagian kemahiran yang dipelajari secara tidak langsung.

“Selepas setahun bekerja di B Artistic Frame, saya mendapat tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

“Namun, ketika cuti semester saya masih diberi peluang bekerja di kedai berkenaan,” katanya.

Kata Satish, peluang pekerjaan di dalam bidang teknikal ketika itu dilihat terbuka luas untuk graduan yang memiliki kelayakan mana-mana bidang kejuruteraan.

Tidak hairanlah mengapa ibu bapanya sangat mementingkan nilai pendidikan terhadap anak termasuk Satish sendiri.

“Selepas tamat belajar pada 2011, masih tiada panggilan pekerjaan daripada syarikat yang menawarkan biasiswa kepada saya.

“Saya tidak mahu mensia-siakan masa dengan menunggu lalu menerima tawaran daripada syarikat lain untuk dapatkan pengalaman dalam bidang yang dipelajari.

“Bagi sesetengah orang, tentu seronok dengan tawaran gaji lumayan apatah lagi setanding diploma yang dimiliki.

“Namun, selepas beberapa bulan saya kembali ke kedai berkenaan dan mengambil alih perniagaan yang sudah diusahakan sejak 2007,” katanya.

Tempahan menyiapkan bingkai gambar diperoleh antara 50 hingga 70 bingkai setiap bulan.

Meskipun hanya menggajikan seorang pekerja, ia bukanlah satu masalah kerana Satish turut bekerja menyiapkan permintaan pelanggan.

“Selain memenuhi permintaan pelanggan, saya turut memberikan khidmat nasihat bagi memilih bentuk bingkai yang sesuai dengan gambar.

“Bukan sekadar warna dan jenis tetapi kemasan bingkai juga mampu memberi impak terhadap imej gambar,” katanya.

Cintanya pada B Artistic Frames & Gallery tidak berubah malah dia mengekalkan teras utama perniagaan kedai berkenaan kerana sudah pun memiliki pelanggan tetap sekitar Sungai Penchala dan Damansara Perdana.

Sentuhan yang lebih segar diberikan apabila beliau mengubah kedudukan tempat pembuatan bingkai gambar bagi membolehkan pelanggan bersantai di ruang hadapan.

Paling menarik, Satish mula memperkenalkan ruang galeri seni bagi menempatkan pelbagai hasil seni milik pengkarya tempatan.

“Idea menyatukan kedai bingkai dengan galeri seni sudah lama difikirkan bagi memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan menyiapkan bingkai pada karya seni yang dibeli.

“Galeri ini juga sentiasa terbuka untuk penggiat seni berkumpul agar dapat bertukar-tukar fikiran. Ia juga sebagai satu cara menunjukkan sokongan ke atas pengkarya seni negara.

“Saya sentiasa mengalu-alukan pengkarya tempatan yang ingin mempersembahkan hasil kerja seni mereka terutama yang baru dalam dunia seni halus,” katanya.

Hingga kini, B Artistic Frames & Gallery sudah pun mengadakan pameran lukisan dan pameran fotografi sejak galeri berkenaan beroperasi dan turut menaikkan pendatang baru bagi menceriakan karya seni halus tanah air negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 11:15 AM