URUSETIA pertandingan memeriksa tangkapan yang diperoleh peserta.

Aktiviti memancing bukan sekadar hobi atau memenuhi masa senggang namun kini semakin diminati penggemar aktiviti sukan memancing (sport fishing).

Bagi seorang jurulukis pelan yang bekerja di Kuala Lumpur, beliau sama sekali tidak menyangka pengalaman setahun jagung membawa pemancing membuahkan hasil apabila semua empat peserta menaiki botnya memperoleh hasil tangkapan hingga muncul juara keseluruhan pertandingan Jigging Mentutuk 2017 anjuran Kelab Pancing Mentutuk Jigger (Men2tuk) di perairan Penyabong, Endau, baru-baru ini.

Mohd Azrul Ariffin, 33, yang mengambil peluang cuti hujung minggu untuk turut serta dalam pertandingan itu sebagai tekong turut menerima anugerah tekong terbaik dalam pertandingan yang disertai 73 kaki pancing laut dalam itu.

Pertandingan hasil kerjasama Pengusaha Perkhidmatan Bot Pondok Penyabong itu turut menawarkan hadiah peralatan pancing tajaan Senses Fishing.

Selain hamper dan cenderamata iringan bertujuan menghimpunkan gabungan ahli kelab itu di seluruh negara yang sebahagian besarnya bekerja dalam bidang profesional.

Beliau yang menerima cenderamata dan peralatan memancing daripada penaja berkata, semua empat peserta dari kumpulan Kulai Angler yang menaiki bot gentian kaca miliknya berjaya menaikkan lebih 20 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan termasuk ebek, tongkol dan kerapu.

“Keseronokan membawa peminat ‘jigging’ ini membuatkan saya semakin berminat menghabiskan cuti hujung minggu dengan aktiviti memancing di perairan Penyabong yang kaya dengan pelbagai spesies ikan,” katanya.

Mohd Khairul Yusuf, 31, yang berjaya menaikkan ikan ebek seberat 6.5 kg tidak menyangka pasukannya muncul juara selepas berjaya memperoleh hasil tangkapan pada saat akhir termasuk rakannya yang berjaya menjinakkan seekor kerapu seberat 15kg.

Beliau yang berpengalaman selama 15 tahun dalam aktiviti memancing pada mulanya berjinak-jinak dengan aktiviti bagi memenuhi masa lapang.

“Syukur dengan kemenangan ini kerana semua ahli mendapat hasil yang baik, hadiah bukanlah matlamat kami tetepi lebih kepada keseronokan menyertai aktiviti ini dan mengeratkan hubungan antara kami,” katanya.

Sementara itu, pengurus program, Mohd Arin Arip berkata, pertandingan yang dianjurkan itu berbeza dariada pertandingan lain kerana menggunakan umpan tiruan atau teknik ‘jigging’ dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada kaki pancing laut dalam.

“Tujuan utama pertandingan yang julung kali diadakan ini ialah untuk menjalinkan hubungan dalam kalangan pemancing yang sering menjadikan perairan Penyabong sebagai lokasi memancing laut dalam yang terkenal dengan spesies ikan ebek, jemuduk, ketarap dan talam,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu juga diadakan untuk memperkenalkan perairan Penyabong sebagai destinasi sukan memancing dan berharap dijadikan acara tahunan bagi kaki pancing ‘jigging’ selain berharap dapat menarik lebih ramai penyertaan pada masa akan datang.

Juara keseluruhan dimenangi kumpulan Kulai Angler yang berjaya mengumpul 3.899 mata, tempat kedua dimenangi kumpulan AKRA (3.260 mata) manakala ketiga diraih kumpulan Pacat (2.592 mata).

Semua peserta dengan 15 bot gentian kaca itu dilepaskan Ketua Kampung Penyabong Wan Azman Wan Jusoh manakala hadiah disampaikan Ketua Penguji Produk, Senses Fishing Ng Yam Pin. - Zul Ikhwan Muhammad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 11:09 AM