MASIH kekal dengan bangunan sedia ada namun khidmatnya semakin meluas.
HOSPITAL Muadzam Shah ketika awal perkhidmatannya.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang, bermula dengan lakaran di atas peta topo menggunakan pensel bernilai lima sen saja. Dilakar pula oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia sekitar 1971.

Hasil daripada lakaran itu, muncullah satu ‘pelan pembangunan’ terancang untuk membangunkan kawasan ‘virgin jungle’ di wilayah Pahang Tenggara secara berperingkat yang dilihat amat mustahil ketika itu.

Walaupun bandar Bukit Ibam terlebih dulu dibuka sekitar 1960-an kerana adanya aktiviti perlombongan bijih timah, bijih besi dan jed, ia tidak menjadi halangan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuka bandar Muadzam Shah.

Bagi melengkapkan proses pembangunan di bandar berkenaan, Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) ditubuhkan di bawah Akta 68, Akta DARA 1972 untuk menerajui strategi pembangunan secara bersepadu melalui pendekatan pembukaan hutan belantara berpandukan pelan induk yang digubal kerajaan.

Sebelum itu, pada September 1971, Tun Abdul Razak mengumumkan penubuhan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara.

Tarikh 12 November 1977 juga menjadi detik paling bersejarah bagi Wilayah Pahang Tenggara apabila secara rasminya ‘gelaran’ Bukit Ridan atau Bandar 10 yag dibangunkan itu ditukar kepada nama Bandar Muadzam Shah dan istiadat pemasyhuran disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

‘Muadzam Shah’ adalah gabungan perkataan Arab dan Parsi yang bermaksud keagungan dan kebesaran raja. Nama itu dipilih bagi mengabadikan jasa Almarhum Sultan Abu Bakar yang memerintah Pahang dari 1933 hingga 1974.

Bekas kakitangan DARA Datuk Abdul Khalib Abdullah, 58, berkata, satu persatu projek pembangunan seperti kawasan perumahan, institusi pendidikan dan agensi kerajaan mula dibuka secara berperingkat dengan dimonopoli orang Melayu.

“Kawasan atau wilayah tenggara yang diwujudkan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia adalah untuk orang Melayu dan itu hasrat murni Perdana Menteri (Tun Abdul Razak) demi membina ekonomi dan pembangunan bangsa Melayu itu sendiri.

“Pada hakikatnya, Pahang Tenggara adalah projek pembangunan tanah yang terbesar pernah dilancarkan di Malaysia,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Khalib berkata, selepas penutupan DARA yang mengurus tadbir bandar Muadzam Shah selama 25 tahun, bandar itu kini diletakkan di bawah pentadbiran daerah Rompin dan terus berkembang sebagai bandar serba ada semuanya.

Kewujudan Politeknik Muadzam Shah (PMS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kolej Vokasional (KV) Muadzam Shah dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) antara bukti bandar Muadzam Shah yang terletak 106 kilometer dari Kuantan ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan beberapa bandar lain di Pahang.

Dalam tempoh 45 tahun kelahirannya, bandar Muadzam Shah kini memiliki semua kemudahan awam termasuk Hospital Muadzam Shah, mahkamah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Balai Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga pejabat Cawangan Majlis Daerah Rompin.

“Kedudukannya di tengah-tengah kawasan wilayah Pahang Tenggara serta lokasi strategik di persimpangan jalan raya Tun Abdul Razak dan Jalan Ibam-Rompin, menjadi antara faktor potensi masa depan bandar ini,” katanya yang menetap di Taman Desa Tanjung, Muadzam Shah.

Abdul Khalib yang juga Pengarah Syarikat Bergaya Juta Sdn Bhd berkata, projek terbaru pembinaan bandar satelit yang membabitkan pelbagai kemudahan awam termasuk kompleks perniagaan dan perumahan di kawasan seluas 60.3 hektar bernilai RM250 juta juga terus menjadi pemangkin kepada kemajuan bandar Muadzam Shah yang dikatakan bakal menjadi ‘sub district’ kepada Rompin satu masa nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 11:04 AM