DANIEAL menggayakan kostum kerana minat menyertai pertunjukan cosplay.
DANIEAL puas menjiwai karakter Joker .
MIMIK muka Danieal.
DANIEAL memegang koleksi patung Joker kepunyaannya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Bukan sekejap tetapi tempoh satu setengah jam dihabiskan Danieal Aidid Jamil di hadapan cermin untuk menyolek wajahnya supaya menyerupai karakter antagonis dalam komik Batman iaitu Joker.

Nampak seperti membuang masa tetapi tidak bagi Danieal, 22, yang melakukannya kerana minat disebabkan pembabitan aktif dalam acara pertunjukan cosplay.

Bagi Danieal, hobinya itu satu terapi menghilangkan tekanan kerja dan pada masa sama memberi kepuasan kerana dapat menjiwai karakter kegemarannya, Joker.

“Sejak di sekolah, saya aktif mengambil bahagian dalam aktiviti kesenian seperti tarian dan lakonan.

“Bagi saya, ia antara cara berkarya di atas pentas dan selepas sekolah, mula timbul minat menyertai acara cosplay.

“Joker menjadi pilihan kerana saya tertarik dengan latar belakang dan sisi lain dirinya yang mungkin ramai tidak tahu,” katanya.

Berbekalkan minat, Danieal yang juga ahli komuniti The Ultimate Cosplayers memberanikan dirinya turut serta dalam Dpulze Cosplay Festival, dua tahun lalu.

Siapa sangka, rezeki menyebelahinya apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima peserta terbaik dalam acara berkenaan.

“Saya tidak menaruh harapan ketika itu kerana hanya masuk suka-suka bagi mencari pengalaman memandangkan ia percuma.

“Persediaan juga biasa-biasa saja malah pakaian hanya dibeli di kedai bundle.

“Mungkin kerana rezeki, saya terpilih dan pencapaian itu salah satu dorongan untuk terus aktif sehingga hari ini,” katanya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel.

Danieal berkata, dia tidak malu keluar rumah dengan wajah penuh solekan dan berkostum karakter komik walaupun ada individu berasakan pelik ketika memandangnya.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, tiada sebab untuknya malu kerana apa yang dilakukan untuk mengisi masa terluang dan tidak menyalahi undang-undang.

“Saya tinggal di flat, jadi setiap kali keluar rumah, akan ada jiran yang bertanya kenapa berpakaian begitu.

“Bagi saya, itu perkara biasa dan tiada apa yang nak dimalukan.

“Lagipun, keluarga memahami minat ini dan saya sendiri puas kerana dapat menghiburkan orang lain terutama kanak-kanak apabila memakai kostum,” katanya yang juga mempunyai kebolehan bermain silap mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 6:38 AM