Ahmad Salim Bachok

Beberapa hari lalu saya mendapat ajakan minum petang daripada seorang sahabat yang sudah beberapa tahun tidak saya temui. Sebenarnya kami pernah tinggal sekampung, membesar bersama dan akhirnya berpisah selepas saya berhijrah ke ibu kota untuk bekerja selepas tamat persekolahan lebih 30 tahun lalu.

Bersungguh-sungguh dia mahu membelanja saya minum. Ketika bertemu di gerai yang dijanjikan, rupa-rupanya sudah ada beberapa orang lagi rakannya, yang sebenarnya juga adalah kenalan saya kerana pernah kami menjadi rakan sepermainan ketika di kampung lebih tiga dekad lalu.

Saya lihat petang itu wajahnya cukup ceria, sentiasa tersenyum, ramah dan mesra i walaupun sudah lama kami saling tidak bertemu. Selepas bersalaman, rakan saya itu terus membuat pengisytiharan mengatakan dia baru saja dilantik menjadi timbalan ketua UMNO cawangan kampung kami.

“Tahniah Tan (namanya Atan)...akhirnya cita-cita kau nak jadi orang politik tercapai juga...” ucap saya sambil bersalaman dengan rakan saya itu. Sebenarnya saya tidak menyangka rakan saya ini mampu pergi jauh dalam politik, walaupun ketika remajanya dulu dia pernah menjadi tukang tampal poster paling rajin pada setiap kali menjelang pilihan raya.

Saya bertanya, kalau dia timbalan ketua cawangan, siapa pula ketua cawangan?

“Tuan Haji Ikram! Siapa lagi yang lebih layak selain dia?” pantas Atan menjawab. Saya bertanya lagi, berapakah usia Haji Ikram sekarang, kerana setahu saya tokoh politik berkenaan memang sudah agak lanjut usianya.

“Tahun ni 77 tahun...” juga pantas Atan menjawab.

Terkedu sebentar saya dibuatnya mendengar jawapan Atan mengenai usia ketua cawangan UMNO pimpinannya itu. Setahu saya, sudah agak lama tokoh politik berkenaan menjadi ketua cawangan.

Dalam pemilihan kali ini, Atan juga memberitahu dia menjadi timbalan ketua tanpa ditentang. Kalau ketua cawangannya berumur 77 tahun, Atan pula tahun ini menjangkau 57 tahun.

“Wah...tak lama lagi kau bakal jadi ketua cawanganlah ye Tan...” usik saya. Senyum Atan petang itu semakin menjadi-jadi. Saya bertanya lagi kepadanya, tidak adakah pemimpin atau tokoh muda yang berkebolehan untuk dilantik menjadi ketua atau timbalan selain Haji Ikram dan dirinya (Atan)?

Soalan saya itu membuatkan Atan pula terkedu. Selepas beberapa saat terdiam, dia menjawab: “Sudah lama Haji Ikram menjadi ketua cawangan...tak ada masalah. Semua orang hormat pada Haji Ikram dan aku...” Tiba-tiba suasana menjadi agak tegang kerana pertanyaan saya tadi mungkin dianggap memperlekeh Atan dan ketuanya.

Apa pun, saya tidak ingin berbalah dengan Atan berkaitan isu berkenaan. Cuma dalam hati saya berkata, inilah masalah utama yang dihadapi oleh akar umbi parti pemerintah ini, iaitu kegagalan kepemimpinannya untuk menarik minat anak-anak muda menjadi pemimpin pelapis dan menerajui masa depan parti.

Sebaliknya, pemimpin lama mahu terus kekal di tampuk takhta walaupun usia sudah melewati 70 tahun. Apa pun, saya mengakui Haji Ikram adalah pemimpin yang sangat dihormati oleh masyarakat setempat. Beliau juga kuat bekerja untuk parti dan pengikutnya. Telus, jujur, tiada skandal dan amat baik budi pekertinya. Wataknya alim dan nampak masih sihat walaupun akan berusia 80 tahun dalam masa tidak sampai tiga tahun lagi.

Tetapi suasana dan keperluan semasa memerlukan manusia yang lebih serba-serbi berbanding pemimpin seperti Haji Ikram ini. Organisasi seperti UMNO memerlukan pemimpin yang lebih bertenaga, muda, berpendidikan tinggi, mahir dalam teknologi maklumat dan cekap dalam penggunaan pelbagai peranti digital. Juga, pemimpin era IT kini perlu memahami perkembangan dunia semasa, terutama isu kewangan dan diplomasi antarabangsa.

Apa yang ingin dikatakan adalah, UMNO, khususnya di peringkat cawangan dan bahagian perlu dijenamakan semula. Kalau boleh perlu dilihat unsur kemudaan atau keremajaannya kerana saya berpendapat parti Melayu ini semakin kelihatan tua, kurang menarik, jumud dan semakin ditinggalkan oleh golongan muda sekarang.

Berbanding parti pembangkang lain, UMNO sekarang dilihat seperti parti untuk pak cik-pak cik atau mak cik-mak cik malah parti atuk-atuk kerana kebanyakan pemimpinnya adalah mereka yang sudah veteran, kaya dan tidak ‘trendy’. Anak-anak muda juga beranggapan mereka bagaikan tiada tempat di dalam parti keramat ini.

Jika parti pembangkang dilihat menggalakkan anak muda dan mereka yang berpendidikan menyertai parti, tetapi UMNO pula bagaikan mahu terus mengekalkan ketua cawangan dan bahagian berusia pencen yang sudah tentu sebahagian besarnya mempunyai pelbagai masalah kesihatan dan tidak mempunyai cukup kemahiran dalam dunia IT dan digital yang begitu penting sekarang.

Malah Atan berpendapat anak muda sekarang bagaikan tidak berminat menjadi ahli, apatah lagi menjadi pemimpin parti kerana lebih mengutamakan kerjaya mereka. Tetapi usaha perlu dilakukan untuk mencari dan mendidik pemimpin pelapis ini bagi menjamin kelangsungan atau survival masa depan parti ini.

Untuk berapa lama lagikah barisan pemimpin parti seperti Haji Ikram dan rakan-rakan seusianya itu mampu bertahan? Bagi saya, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab tokoh veteran yang sudah banyak berjasa dan dihormati seperti Haji Ikram ini untuk mencari, melahir serta mendidik pemimpin pelapis ini bagi menggantikan mereka tidak lama lagi.

Pada masa sama, mereka juga tidak sepatutnya terus-terusan mahu mempertahankan jawatan walau atas apa juga alasan, tetapi sebaliknya mulalah memberi peluang kepada barisan pemimpin muda pula untuk memberi bakti kepada parti dan masyarakat, sesuai dengan kebolehan dan pengetahuan terkini yang mereka miliki.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 5:56 AM