PENYEDIAAN ringkas namun keaslian rasa dipelihara.

Gemarkan hidangan ala Barat yang ringkas, segar dan enak, Nonie’5 Pasta Shack ternyata menggamit tumpuan.

Kebanyakan hidangan disediakan segar menjadikan ia lebih enak dinikmati kerana dihidangkan ‘panas-panas.’

Menurut pemiliknya, Noornidah Sani, 39, gerai baru dibuka Mac lalu itu adalah cetusan idea beliau dan suami yang gemar makan serta menyediakan hidangan Barat di rumah.

“Kami gemar makanan yang ringkas tapi enak dan masakan Barat antara pilihan. Bermula dari situ tercetusnya idea untuk membuka gerai ini kerana ingin berkongsi dengan orang ramai gaya masakan kami yang tersendiri,” katanya.

Menurut Noornidah, walaupun resipi yang diketengahkan kelihatan ringkas namun, pelbagai aspek perlu dititikberatkan terutama tahap kesegaran.

“Mungkin hidangan Barat kedengaran mudah untuk disediakan namun, bahan perlu segar supaya ia tidak mengubah rasa hidangan berkenaan.

“Ini kerana bahan yang digunakan juga tidak kompleks maka kesegaran bahan utama menjadi kunci rasa setiap hidangan. Jika bahan utama seperti ayam atau sayur tidak segar, ia boleh merosakkan rasa keseluruhan hidangan,” katanya.

Selain 15 hidangan yang ditawarkan termasuk menu sarapan, Noornidah turut menyediakan menu diet pemakanan sihat mengikut permintaan pelanggan.

“Disebabkan setiap hidangan dimasak segar, saya turut sediakan hidangan mengikut diet pelanggan terutama bagi yang menjaga kesihatan dan kecergasan. Pelanggan juga boleh memilih bahan mengikut kesesuaian kalori mereka,” katanya.

Katanya lagi, idea untuk terus menyajikan menu diet kepada pelanggan mula tercetus selepas mendapat banyak permintaan khususnya daripada jurulatih kecergasan.

“Pada awalnya saya tidak terfikir untuk hidangkan menu sebegini, tapi selepas banyak mendapat permintaan saya mula tampilkan menu diet seperti dada ayam rebus dan gril kepada pelanggan.

“Cara masak dan bahan terpulang kepada pelanggan. Ada sesetengahnya hanya mahukan protein dan sayur-sayuran, jadi saya ikut pilihan mereka dan padankan dengan pelbagai sayur-sayuran rebus atau salad,” katanya.

Berkesempatan singgah di gerai itu baru-baru ini, penulis mencuba beberapa menu istimewa yang sering menjadi tumpuan dan pilihan ramai.

Menu ayam gril dengan RM 8.90 antara pilihan kerana selain dihidangkan bersama sos lada hitam istimewa ia turut menampilkan diet seimbang dalam satu pinggan.

“Biasanya ramai yang gemar memilih untuk makan nasi ketika tengah hari jadi menu ini sentiasa menjadi pilihan kerana ia dihidangkan bersama nasi mentega dan sayur-sayuran,” kata Noornidah.

Sos lada hitam yang dibuat sendiri itu turut menambah kesedapan pada hidangan itu kerana mempunyai keseimbangan rasa masin, manis dan pedas.

Selain itu, ikan gril (RM7.50) yang dipadankan dengan salad segar juga memberi kelainan selain menawarkan pilihan lebih sihat.

Bagi yang gemarkan pasta, terdapat beberapa pilihan seperti Spicy Chicken Olio (RM5), Chicken Macaroni (RM5), Spaghetti Meatball (RM6) dan Chicken Carbonara (RM6).

Pelbagai pilihan sarapan ala Barat turut disediakan antaranya Spicy Mexican Porridge dan Egg Wrap.

Nonie’5 Pasta Shack yang dibuka setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum beroperasi pada 8 pagi hingga 5 petang.

Maklumat lanjut ikuti Instagram @noniepasta atau kunjungi Gerai M yang terletak di Pusat Gerai Terminal Bas, Jalan Persiaran Multimedia, Cyberjaya. - Nor Hanisah Kamaruzaman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 11:53 AM