PESERTA media bergambar dengan Junko (dua dari kanan) dan Sunaho (kiri) selepas menikmati hidangan makan malam di KPH.
PERKAMPUNGAN tradisional Jepun Saiko Iyashi-no-sato Nenba berhampiran Gunung Puji yang dilanda taufan pada 25 September 1966 dibangunkan semula untuk dijadikan tarikan pelancongan.
SEORANG penduduk perkampungan tradisional Jepun Saiko Iyashi no sato Nenba sedang menyediakan makanan untuk pelancong.
PEMANDANGAN Tokyo pada waktu malam.
Shariffudin Mohamed
sfmohd@mediaprima.com.my


Lucu sekali. Saya dipanggil bapa mentua ketika memakai kimono.

Begitulah terjadi kepada saya ketika memakai kimono yang dikhaskan untuk pengantin lelaki saat dibawa melawat sebuah hotel berusia 46 tahun di Tokyo, Keio Plaza Hotel (KPH), baru-baru ini.

Saya nampak bergaya sebagai bapa mentua berbanding dua rakan media lelaki dan wanita yang jauh lebih muda.

Ternyata pengalaman pertama kali ‘kitsuke’ atau memakai pakaian tradisional Jepun itu agak melucukan.

Bukanlah semudah memakai baju pengantin masyarakat Melayu, saya memakai kimono yang berharga berjuta yen itu mendapat bantuan dua staf hotel berkenaan.

Kemudian saya bersama dua rakan itu tersipu-sipu malu apabila diminta berjalan merentasi lobi hotel dengan disaksikan orang ramai menuju ke dewan perkahwinan untuk bergambar.

Sesi pemakaian kimono ini sebenarnya sebahagian daripada program yang diatur oleh KPH untuk anggota media dari Malaysia dalam lawatan selama empat hari itu.

Sepanjang kunjungan itu kami dilayan mesra oleh Timbalan Pengarah Pemasaran (Perhubungan Awam) Junko Saito, Pegawai Perhubungan Awam dan Perancangan Pemasaran Sunaho Nakatani, Pengarah Urusan AZ.Worldcom Japan Yuji Dave Otsuke dan Perundingan Perhubungan Awam Listiari Suyanto, wakil KPH di Malaysia.

Berdasarkan taklimat Junko kepada kami, peningkatan pelancong dari Asia Tenggara ke Jepun, terutama Malaysia mendorong KPH mengadakan promosi melalui media untuk menarik pelancong asing menginap di hotel yang mempunyai dua blok bangunan itu.

Terletak di tengah-tengah kawasan utama metropolis Tokyo, Shinjuku, KPH adalah bangunan pencakar langit pertama dibina di situ pada 1971.

Sejak beroperasi 46 tahun yang lalu, KPH yang bertaraf antarabangsa merekodkan lebih 29 juta tetamu dari 100 negara menginap di hotel terbabit dan menjadi tuan rumah kepada 800 persidangan antarabangsa.

Ia kini mercu tanda terkenal dengan memiliki 20 restoran dan bar serta 1,435 pelbagai jenis bilik, termasuk yang bertemakan Hello Kitty khas untuk mereka inginkan kelainan menginap di hotel.

Saya terpegun melihat keistimewaan bilik ini yang boleh membuatkan tetamu berasa di dalam alam fantasi dengan segala perkakas daripada sekecil kunci bilik hingga ke tandas bertemakan Hello Kitty.

Dua bilik diubah suai menjadi Kitty Town dan dua lagi Princess Kitty.

Pada tahun ini KPH menganjurkan program kebudayaan Jepun mengikut bulan contohnya pameran Bonsai pada Februari dan Mac, kimono bercorak Gunung Fuji, April ini, Seni Kipas (Mei), pementasan drama tari tradisional Noh (Jun) dan seni tradisional Tembikar Arita (Julai).

Bagi pelancong beragama Islam, pakej pelancongan Muslim ditawarkan berikutan semakin ramai pelancong Muslim mengunjungi negara matahari terbit itu.

Hotel itu boleh mengatur program pelancongan yang bersesuaian dengan kehendak mereka, termasuk menyediakan pemandu pelancong beragama Islam.

Selain menyediakan makanan halal di hotel, sejadah turut diberikan untuk tetamu beragama Islam menunaikan solat di bilik.

Masjid Tokyo yang terbesar di Jepun pula terletak bersebelahan Pusat Kebudayaan Turki di Shibuya manakala Masjid As-Salaam setinggi empat tingkat berhampiran Stesen Kereta Api Okachimachi.

Banyak restoran halal di Asakusa, Ueno dan Yanaka, jadi tiada masalah untuk pelancong beragama Islam menikmati kebab, sushi dan ramen.

Saya sendiri menikmati ramen halal di Restoran Ayam-YA di bangunan Yamada, Taito. Memang oishi atau lazat dalam bahasa Melayu.

Seperti kita tahu rakyat Jepun masih mengekalkan nilai-nilai tradisi dan budayanya, justeru KPH mengambil inisiatif membawa beberapa amalan untuk dirasai tetamu hotelnya.

Ia bukan saja menawarkan pakej perkahwinan tradisional kepada rakyat tempatan, malahan tetamu hotel, terutama pelancong asing, dipelawa mengalami situasi unik memakai kimono pengantin yang eksklusif dengan kadar bayaran tertentu.

Dengan memakai kimono, mereka dibenarkan bergambar di beberapa ruang mewah dan dewan pernikahan atau dipanggil Takasago di dalam hotel.

Satu lagi amalan yang kami ikuti ialah upacara minum teh di sebuah bilik yang diubah suai seolah-olah tetamu berada di dalam rumah tradisional Jepun.

Upacara yang sungguh teliti, sopan dan penuh dengan kepercayaan ini dilakukan oleh Puan Yano, seorang guru pembancuh teh.

Kami, seorang demi seorang diberikan semangkuk teh untuk diminum.

Bagaimanapun, bukan boleh minum begitu saja seperti minum teh atau kopi di Malaysia.

Perlu minum perlahan-lahan dan memegang mangkuk pun ada caranya sebelum mengeluarkan bunyi hirup menandakan teh sudah habis diminum.

Menariknya Puan Yano dapat membezakan bunyi hirup yang benar-benar ‘asli’ atau sengaja dibuat-buat.

Ini membuatkan kami ketawa apabila Puan Yano mengatakan saya melakukan dengan baik sekali.

Melancong ke Jepun tidak sah tidak melihat dengan mata sendiri keindahan Gunung Fuji yang sangat sinomin dengan negara matahari terbit itu.

Gunung Fuji yang dikelilingi enam tasik ternyata ‘keramat’ bagi rakyat negara terbabit.

Ia membawa rezeki melimpah ruah kepada penduduk persekitarannya dengan menjalankan perniagaan berasaskan pelancongan, termasuk menyediakan pengangkutan bas dan teksi, membuka hotel, rumah penginapan, restoran, kedai cenderahati dan pelbagai lagi.

KPH kini mempromosikan Gunung Takao yang terletak di barat Tokyo sebagai destinasi terbaru berasaskan alam semula jadi untuk pelancong asing dan domestik.

Gunung ini yang boleh dinaiki dengan kereta kabel turut mempunyai trek untuk mendaki hingga ke kemuncak setinggi 599 meter.

Ditutupi kira-kira 300 jenis tumbuhan, Gunung Takao boleh dikunjungi setiap musim berbanding Gunung Fuji yang hanya dibenarkan didaki pada musim panas.

Memang terasa letih berjalan hingga ke sebuah tokong Buddha yang berusia 1,200 tahun tetapi berbaloi apabila melihat suasana sekeliling gunung yang nyaman.

Mengunjungi perkampungan tradisional Jepun Saiko Iyashi-no-sato Nenba dan Muzium Seni Itchiku Kubota membuka mata saya betapa masyarakat Jepun sangat mementingkan nilai-nilai tradisi dan budaya mereka walaupun negara itu sudah mencapai kemajuan dan kemodenan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kemudahan dan perkhidmatan KPH, sila layari laman web, YouTube, Facebook atau Instagram mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 11:50 AM