PASUKAN universiti yang mengambil bahagian.
PESERTA bermain FIFA Online 3.
BARISAN pemenang MYCL League of Legends.
BARISAN pemenang MYCL FIFA Online 3.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Pertandingan e-sukan di peringkat universiti tempatan kini semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

Syarikat pengguna Internet terbesar Asia Tenggara iaitu Garena menggiatkan usaha ini dengan menganjurkan Liga Kampus Malaysia (MYCL) di Sunway University, Subang Jaya, Selangor pada 23 dan 24 April lalu.

Dua permainan dipertandingkan iaitu League of Legends dan FIFA Online 3.

Tiga belas universiti mengambil bahagian dengan menghantar wakil masing-masing bagi merebut wang tunai terkumpul RM8,000.

Setiap pasukan mewakili kelab e-sukan di universiti masing-masing sudah berdaftar di bawah program Garena iaitu Garena Student Alliance (GSA).

Inisiatif itu memfokuskan latihan industri dan pada masa sama mendedahkan siswa kepada senario e-sukan di peringkat antarabangsa dengan menawarkan peluang serta ganjaran dalam industri itu.

Seiring objektif itu, juara dari Taylor’s University yang membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta barangan elektronik turut berpeluang menyertai pertandingan Interkampus peringkat antarabangsa anjuran Riot Games.

Pengurus Produk Garena Malaysia Justin Lye berkata, e-sukan kini semakin diterima di institusi pendidikan tinggi.

“Kami berbangga melihat perkembangan e-sukan di peringkat universiti dan percaya inisiatif daripada GSA ini mampu melahirkan lebih ramai bakat dalam kalangan penuntut universiti.

“Tahun ini kami ingin memfokuskan MYCL sebagai acara kampus yang dikendalikan sepenuhnya oleh penuntut dan presiden kelab e-sukan GSA masing-masing. Langkah ini mampu beri pendedahan kepada anak muda untuk menimba pengalaman dalam pengurusan acara khusus bagi sektor itu,” katanya.

Justin berkata, pengisian lain GSA ialah memperkenalkan pencarian hos MYCL apabila penuntut universiti diberi peluang meneroka karier baru dalam e-sukan khususnya League of Legends dan FIFA Online 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 6:41 AM