AKHBAR di Padang memberi liputan istimewa pada filem Mawar Putih arahan Mak Nani.
Adam Salleh

Di kala seorang demi seorang rakan seperjuangannya ‘menutup usia’, Datuk Rosnani Jamil masih lagi bergelumang di arena perfileman negara. Tanggal 20 Januari lalu usia beliau sudahpun mencecah 81 tahun dan bagi mereka berusia lebih setengah abad begitu apatah lagi wanita, tidak kuasa lagi ke hulu ke hilir melainkan ‘goyang kaki’ sambil melayan kerenah cucu dan cicit.

Namun berbeza dengan Rosnani atau Mak Nani ini, tanpa publisiti beliau terbang ke Padang, Sumatera, Indonesia, minggu lalu bagi memenuhi jemputan Fakultas Ilmu Budaya, Universiti Andalas dan Institut Seni Indonesia untuk membicarakan filem terbaru arahannya, Mawar Putih, menjayakan ‘Master Class’ selain berdiskusi dengan Parfi (Persatuan Artis Filem Indonesia).

Padang dan Mak Nani bak tangan kanan dan kiri dan sudah pastilah undangan pihak universiti dan institut itu menyentuh jiwanya kerana sebagai anak kelahiran Kampung Sungai Geringiang, kunjungan ke Padang tempoh hari bagaikan sirih pulang ke gagang. Selama aktif di bidang perfileman di era kemuncak filem Melayu di Singapura, Mak Nani yang sebelum ini sinonim dengan jolokan Sri Mersing dan mengarahkan filem pertama, Mawar Merah pada 1987 tidak pernah membawa filem karyanya untuk tayangan orang ‘kampuangnya’ sendiri.

Hasrat membawa karyanya ke tanah kelahiran sudah dipendam sekian lama. Sebagaimana dijelas pada penulis sebelum ini bahawa Mawar Putih adalah filem terakhir arahannya, justeru semangat berkobar-kobar mahu filem itu dibawa ke Padang bagi menunjukkan pada masyarakat Minang di sana betapa kental jiwanya sebagai anak jati Minang mengharungi pahit getir sanggup meninggalkan kampung halaman merantau ke Singapura seterusnya menimba ilmu di London, dan takdirnya menjadi antara tokoh perfileman paling disegani di Malaysia.

Sebagai produser yang bergerak ala ‘lone ranger’ tidak mudah untuk merealisasikan apa diimpikan kerana segalanya memerlukan bajet. Dan hakikatnya Mak Nani sukar menafikan Mawar Putih yang memasuki tayangan umum pada 18 Ogos lalu sepi publisiti gara-gara kekangan bajet untuk merancakkan lagi strategi promosi kombinasi pelakon Malaysia dan Indonesia itu itu.

Ibarat orang mengantuk disorong bantal, hanya terima kasih saja dapat diluahkan Mak Nani apabila hasratnya itu mendapat sokongan padu Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim. Itupun sesudah perbualan lisan antara seniman Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dengan Pegawai Khas Rais dan tidak sampai seminggu berurusan Rais memberi ‘lampu hijau’. Lebih menyentuh jiwa Mak Nani, sekalipun sibuk Rais sempat ‘turun’ ke Padang melihat sendiri perjalanan program tayangan khas dan diskusi filem Mawar Putih itu.

Majoriti siswazah menonton Mawar Putih memuji garapan Mak Nani disifatkan kemas daripada segi penceritaan dan sudut kamera yang dihasilkan. Apa yang menarik mereka hairan bagaimana serorang wanita veteran mahu berurusan dengan kru atau tenaga produksi di kalangan generasi baru. Dalam satu produksi Mak Nani pernah berurusan dengan 20 kru.

Untuk Mawar Putih apabila ditanya Mak Nani berapa markah diberi dari satu ke 10, rata-rata memberi sembilan markah. ‘Master Class’ dikendalikan Mak Nani sesuatu yang tidak pernah dinikmati di Malaysia. Perkembangan terkini perfileman tanah air turut dikongsi Mak Nani mengenai kemunculan pengarah muda yang akan menjadi pewaris meneruskan perjuangan filem.

Sebaliknya mereka agak terkejut apabila Mak Nani menjelaskan penggiat seni dan pengarah muda di Malaysia beruntung kerana mendapat pelbagai insentif disediakan kerajaan melalui Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) untuk meningkatkan kerjaya seni mereka, sedangkan kemudahan itu tidak dinikmati oleh karyawan Indonesia. Mereka ‘survival’ cara sendiri.

Di sisi lain terbit rasa terkilan pada Mak Nani kerana kunjungannya ke Padang tempoh hari tidak diendahkan pelakon utama filem itu Reen Rahim dan Arja Lee. Berkali-kali dihubungi tetapi kedua-dua pelakon itu tidak membuat panggilan susulan. Hanya pelakon Herdawati dari Singapura dan seniwati Raja Nor Baizura dapat mengiringi Mak Nani ke Padang.

Natijahnya karenah kedua-dua pelakon kita itu serba sedikit menguris hati Mak Nani sebagai ‘orang lama.’ Baik Reen Rahim dan Arja Lee seharusnya mereka malu sendiri kerana dua lagi pelakon Indonesia yang menjayakan Mawar Putih iaitu Triestan Aprillian dan Cinta Dewi sanggup ‘terbang’ dari Jakarta ke Padang sebagai tanda sokongan pada filem yang dihasilkan satu-satunya tokoh perfileman wanita Melayu nusantara yang masih memerah keringat di lokasi di kala usianya 80 tahun.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:46 AM