BUAH cerapu

Pokok cerapu berasal dari Thailand dan Malaysia. Di negara ini, pokok berkenaan banyak didapati di Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Ia pokok berbunga dan berbuah mengikut musim iaitu pada Julai hingga September dan kadang-kadang boleh didapati hingga Disember.

Malah pokok itu membiak melalui biji benih yang disemai dan juga secara cantuman baji.

Buah cerapu berbentuk bulat dan leper sedikit di bahagian atas dan bawahnya. Buahnya berukuran dua hingga lima sentimeter (sm) lebar, buah yang masih muda berwarna hijau cerah dan licin berkilat.

Sementara buah yang masak berwarna jingga juga licin berkilat. Di bahagian bawah buah terdapat bekas stigma yang besar berwarna perang dan tidak luruh hingga buahnya masak.

Kulit buahnya nipis dan mudah dikupas. Isinya berwarna jingga, terdiri daripada enam hingga tujuh ulas yang kelihatan seperti bercantum dan mengandungi banyak jus.

Jika dimakan mentah, rasa buah cerapu masam-masam manis dan ia mempunyai getah yang lekit. Buah cerapu muda biasanya dimasak gulai lemak cili api bersama-sama ikan kering atau ikan salai.

Buah yang sudah masak, selain dimakan mentah juga boleh ditumbuk bersama-sama sambal untuk mengurangkan pedas sambal itu.

Selain sesuai untuk dimakan bersama ulam-ulaman seperti pucuk paku, kacang, jering, petai dan kerdas.

Ia boleh dimakan mentah dengan rasanya masam-masam manis. Pokoknya juga sesuai dijadikan tanaman hiasan atau teduhan halaman rumah.

Sumber - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 10:49 AM