WAN Aiman (empat dari kanan) memiliki perniagaan yang stabil dan mempunyai premis dan tujuh kakitangan.
RUTIN harian bermula dengan memberi penerangan ringkas kepada semua kakitangan.
WAN Aiman melakukan semua kerja sendiri ketika awal perniagaan.
TELITI membuat pemantauan di tapak projek.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmtero.com.my

Kebanyakan anak muda yang baru menamatkan pengajian mereka masih mencari haluan hidup terutama dalam menentukan kerjaya dan masa hadapan.

Berbeza pula bagi pemilik Wara Air Cond & Electrical Supply kerana sejak belasan tahun lagi dia sudah menetapkan matlamat memiliki perniagaan sendiri.

Menurut Wan Aiman Wan Efendi, 23, sejak zaman persekolahan dia sudah mula menjinak-jinakkan diri dalam dunia perniagaan.

“Saya gemar berniaga sejak kecil lagi. Ketika di bangku sekolah saya pernah menjual secara kecil-kecilan seperti menjual telefon bimbit dan pakaian.

“Ketika berumur 17 tahun, saya memiliki syarikat sendiri dan mula menceburi bidang penyelenggaraan pendingin hawa. Saya mula tumpu pada bidang itu selepas nampak peluang yang luas.

“Walaupun waktu itu tiada kemahiran dan peralatan sempurna tapi saya mula teroka dan dalami sedikit demi sedikit dengan keazaman yang tinggi iaitu ingin berbisnes,” katanya ketika di temu bual di premisnya di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Selepas tamat persekolahan, Wan Aiman menyambung pengajian dalam bidang sama kerana mahu lebih serius dalam menjalankan perniagaannya itu.

“Atas nasihat dan dorongan ibu, saya dalami kemahiran dalam bidang servis penghawa dingin di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuala Lumpur selama dua tahun dan pada masa yang sama menjalankan perniagaan secara sambilan,” katanya

“Selepas tamat pengajian di IKM saya bekerja dengan sebuah syarikat pendingin hawa selama setahun bagi mendapatkan pengalaman.

“Di sana, saya bukan saja dapat amal kemahiran sedia ada tapi pada masa sama dapat mempelajari cara betul untuk menjalankan perniagaan seumpama itu,” katanya.

Wan Aiman berkata, ilmu yang dipelajari sedikit sebanyak membantunya mengembangkan perniagaan sehingga ke tahap kini selain doa dan restu ibu bapa.

“Saya bertuah kerana keluarga sentiasa beri sokongan penuh dan yakin doa dan restu ibu bapa juga banyak menyumbang dalam kejayaan saya sehingga ke hari ini.

Katanya lagi, sifat ringan mulut dan tidak sombong turut banyak membantu terutama dalam mendapatkan nasihat daripada mereka yang berpengalaman.

“Setiap hari adalah hari yang baru jadi pasti ada perkara baru yang boleh dipelajari cuma kita perlu bijak dan tidak segan bertanya.

“Saya turut terapkan kepada kakitangan saya untuk selalu bertanya dan jangan sombong kerana orang yang sombong selalu rugi,” katanya.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, walaupun pernah ditipu suatu ketika dulu dia tidak ‘lumpuh’ malah bangkit kembali kerana menganggap itu sebagai cabaran yang mematangkan dirinya.

“Seperti yang saya beritahu, untuk sampai ke tahap ini bukan mudah kerana pahit getir perniagaan adalah lumrah. Saya jadikan itu sebagai penyuntik semangat untuk terus kuat dan berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Wan Aiman turut mengakui, untuk sampai ke tahap ini banyak yang dikorbankan selain sentiasa bersabar dan fokus.

“Jika dilihat perniagaan saya nampak selesa namun bukan mudah atau ada jalan singkat untuk sampai ke tahap ini. Saya bermula dari kecil-kecilan dan pada awal perniagaan banyak cabaran yang berliku perlu dilalui.

“Apa yang penting, kita perlu fokus dan jangan mudah putus ada. Pastikan matlamat kita dengan terperinci supaya dapat cari jalan dan peluang untuk mencapainya,” katanya.

Wan Aiman turut merancang membuka cawangan baru di sekitar Klang dan Puchong dalam jangka masa beberapa tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 1:33 AM