JURUTERA muda sebelum ini aktif menyelam skuba di Indonesia, Filipina dan Thailand.
JURUTERA muda sebelum ini aktif menyelam skuba di Indonesia, Filipina dan Thailand.
JURUTERA muda sebelum ini aktif menyelam skuba di Indonesia, Filipina dan Thailand.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Menggemari watak Ariel, si ikan duyung dalam filem animasi The Little Mermaid yang popular sekitar 1989 sejak kecil menyebabkan Nur Umairah Abd Rahim, 29, menghabiskan masa lebih satu jam dan dua kali seminggu untuk ‘menukar’ dirinya menjadi makhluk mitos itu.

Boleh dikatakan setiap kali ada masa terluang, Nur Umairah akan menyarung ‘ekor’ khas dari kaki hingga ke pinggangnya untuk berenang dan menyelam di kolam renang atau di laut.

Meskipun Nur Umairah atau lebih mesra dipanggil Maira taasub dengan keunikan ikan duyung sejak kecil, dia hanya berpeluang belajar dan memiliki lesen menyelam pada usia 27 tahun. Kini Maira sudah memiliki lesen penyelam profesional daripada PADI Freediver dan bebas menyelam di laut dalam.

Menurutnya, dia tertarik belajar berenang seperti ikan duyung apabila menjumpai akademi ikan duyung di Dolphin Aquatics, Klang menerusi carian di Internet dan kebetulan mencari aktiviti menarik untuk dijadikan hobi pada masa lapang.

“Kali pertama berenang menggunakan ekor ikan duyung, memang sangat susah untuk imbangkan badan dalam air tetapi sebab minat yang mendalam, saya hanya ambil masa sebulan untuk sesuaikan diri.

“Perasaan teruja tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata apabila berjaya melakukan teknik seperti dolphin kick, flying kiss dan buih halus dalam air kerana berasa seperti ikan duyung yang sebenar!

“Setiap kali latihan saya akan memuat naik gambar di laman sosial Instagram @mairarahim. Saya boleh dikatakan wanita berhijab pertama yang memasuki kelas renang ikan duyung ini dan pernah dikecam netizen.

“Namun saya tetap berfikiran positif dan meneruskan hobi saya ini tanpa mengendahkan kata-kata negatif mereka,” kata anak kedua daripada enam beradik ini.

Menurut Nur Umairah, ketika mula belajar dulu dia membeli ekor diperbuat daripada fabrik tetapi sekarang bercadang menggantikannya kepada ekor silikon yang berharga bawah RM10,000.

“Jika berenang menggunakan ekor silikon, lebih mudah untuk saya turun ke dalam air kerana beratnya yang mencecah 15 kilogram (kg). Walaupun sudah mengeluarkan modal lebih RM5,000 untuk hobi ini, saya tidak kisah asalkan dapat lakukan aktiviti yang berbeza daripada orang lain.

“Sebenarnya sebelum ini saya aktif menyelam skuba di Indonesia, Filipina dan Thailand. Oleh itu, saya memang tiada masalah untuk sesuaikan diri untuk menjadi ‘ikan duyung’ di kolam renang mahupun laut dalam.

“Meskipun di luar negara banyak berita mengenai ‘ikan duyung’ mati ketika sesi penggambaran dalam laut, ia langsung tidak mematahkan semangat untuk terus mendapatkan lesen yang membolehkan saya menjadi tenaga pengajar pula.

“Oleh sebab itu, penting untuk kita memiliki lesen yang sah sebagai persediaan sekiranya berlaku apa-apa perkara tidak diingini,” kata anak kelahiran Kedah ini.

Kata jurutera muda ini lagi, dia mahu mengembalikan imaginasi dan fantasi kepada orang ramai terutama kanak-kanak yang ibu bapa mahu mereka lebih cepat membesar.

Hakikatnya banyak kebaikan yang boleh didapati menerusi aktiviti renang ini seperti belajar mengawal nafas menjadi lebih teratur untuk menjaga kesihatan jantung, mengekalkan berat badan dan membantu mengurangkan tekanan kerja.

Selain itu, Maira turut menerima tempahan untuk persembahan ikan duyung pada majlis keraian seperti hari jadi dan perjumpaan semula.

Namun tidak semua tempahan diterima kerana kesibukan kerja.

“Buat masa ini, saya hanya melakukan persembahan secara individu. Selalunya saya akan menghiburkan penonton dengan melakukan ‘trick’ ikan duyung, cari barang dalam air dan bercerita dengan bayaran RM200 ke atas mengikut majlis.

“Namun dalam masa terdekat ini, saya merancang bekerjasama dengan ‘ikan duyung’ dari Johor untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu membersihkan laut bersama orang ramai dan mereka berpeluang bergambar bersama ‘ikan duyung’.

“Kami mahu mendidik orang ramai menjaga kebersihan, menghargai laut dan khazanahnya untuk tatapan generasi pada masa akan datang,” kata pemegang Sarjana Sains Kejuruteraan Pembinaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 1:22 PM